RASHID bersama skuad badminton negara.
RASHID bersama skuad badminton negara.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kontinjen negara terus mendominasi acara badminton Sukan Universiti Asean (AUG) apabila berjaya menempah tiket ke final membabitkan empat daripada lima kategori individu yang dipertandingkan hari ini.

Malah, satu emas sudah dalam genggaman kem Malaysia apabila dua wakil negara beraksi di pentas final bagi acara beregu wanita.

Beregu wanita negara Teoh Lexuan-Yap Rui Chen menumpaskan lawan dari Indonesia Nahla Aufa Dhia Ulhaq-Elizabeth Jovita 21-6,21-12 sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan akhir.

Rentak cemerlang turut dilakar pasangan Desiree Siow-Ng Qi Xuan untuk menundukkan wakil tuan rumah Sasikarn Piyawatcharavijit-Pornnicha Suwatnodom 21-13,19-21,21-15 dalam tempoh 48 minit.

Selain itu, perseorangan lelaki negara Faiz Rozain turut cemerlang pada separuh akhir apabila mengalahkan wakil dari Indonesia Muhammad Febriansyah 21-5 sebelum lawannya itu menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.

Selain itu, wakil negara yang akan turut beraksi di pentas final bagi penentuan emas esok adalah pasangan lelaki negara Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin dan beregu campuran Kok Xian Tan-Desiree Siow.

Sementara itu, ketua jurulatih badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata, kejayaan wakil negara melangkah ke final termasuk mengesahkan satu emas esok berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Kita sememangnya mensasarkan lebih banyak pingat dapat diperoleh pada pertarungan final esok. Sudah semestinya barisan pemain berada pada keadaan optimum untuk memastikan kejayaan berpihak kepada Malaysia sekali gus mencapai sasaran tiga emas," katanya. Mengikut rekod, kem badminton negara beraksi cemerlang pada acara berpasukan apabila meraih dua emas untuk kategori lelaki dan wanita kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:18 PM