CHONG (kiri) akan bertemu Muhammad Ariff bagi merebut pingat emas acara perseorangan lelaki. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
CHONG (kiri) akan bertemu Muhammad Ariff bagi merebut pingat emas acara perseorangan lelaki. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

SINGAPURA: Penantian skuad badminton negara sejak 14 tahun lalu untuk memungut pingat emas Sukan SEA dalam acara perseorangan lelaki berakhir apabila dua wakil negara, Chong Wei Feng dan Muhammad Ariff Ab Latif akan bertemu di final esok.

Dalam saingan separuh akhir hari ini, Wei Feng menewaskan juara bertahan, Tanongsak Saemboonsuk dari Thailand dalam rubber set 13-21, 21-18 dan 21-15 manakala Muhammad Ariff pula menyingkirkan wakil Singapura, Loh Kean Yew dalam straight set 22-20 dan 21-15.

Wei Feng menyifatkan penampilan ke final buat pertama kali dalam Sukan SEA itu adalah atas sokongan dan dorongan oleh Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen.

Selepas ketinggalan set pertama, Frost menyuruh saya supaya bertenang dan mengejar mata demi mata, katanya selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, Muhammad Ariff turut berkongsi pandangan sama apabila ketinggalan mata pada awal permainan.

Beliau menyifatkan peluang merangkul emas pada pertembungan dengan rakan sepasukan pada final adalah seimbang.

"Perkara penting di sini ialah kami berjuang untuk negara," katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Roslin Hashim pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Dalam acara separuh akhir perseorangan wanita, pemain muda negara Goh Jin Wei gagal melakukan kejutan apabila kalah kepada pemain Indonesia, Hanna Ramadini 21-16, 12-21, 18-21.

Pujian perlu diberikan kepada pemain negara berusia 15 tahun itu apabila mengharungi saingan sehingga ke separuh akhir pada penampilan pertama pada temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, pingat emas acara beregu wanita sudah berada dalam genggaman negara apabila dua beregu negara bertemu dalam final esok.

Dalam perlawanan separuh akhir, juara bertahan Vivian Hoo/Woon Khe Wei dengan mudah mengalahkan beregu Indonesia, Anggia Shitta Awanda/Ni Ketut Mahadewi dengan straight set 21-12 dan 21-11.

Dalam satu lagi saingan, beregu sepasukan Soong Fie Cho/ Amelia Alicia Anscelly turut mengalahkan satu lagi beregu Indonesia, Suci Rizki Andini/Maretha Dea Giovani dengan 21-16 dan 23-21.

Dalam pada itu, Malaysia mempunyai peluang menambah kilauan emas apabila beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying layak ke final.

Dalam perlawanan separuh akhir, beregu campuran negara itu menewaskan pasangan Indonesia, Riky Widianto/Richi Puspita Dili dengan 21-18, 18-21, 22-20.

Menanti mereka di final ialah satu lagi beregu campuran Indonesia, Praveen Jordan/Debby Susanto.

Peng Soon berkata, semangat tidak mahu berputus asa mendorong gandingannya bersama Liu Ying mara ke final walaupun mengakui memikul tugas berat pada penentuan pingat emas.

Kali terakhir beregu campuran meraih pingat emas di Sukan SEA ialah menerusi Chew Choon Ng/Chor Hooi Yee di Brunei pada 1999. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:06 PM