Kuala Lumpur: Juara Terbuka Poland, Tan Jia Wei mara ke pusingan ketiga Siri Antarabangsa Indonesia apabila mengalahkan wakil tuan rumah, Bagas Kristianto Nugroho di Dewan Badminton Sudirman, Surabaya, semalam.

Dia yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan, menang 21-17, 21-18 dan bakal berentap dengan seorang lagi pemain tuan rumah, Enzi Shafira hari ini.

“Sebenarnya saya kurang selesa beraksi hari ini (semalam) sehingga membiarkan pemain lawan mendahului di kedua-dua set. Bagaimanapun, saya bertindak dengan bijak berbanding pemain lawan apabila menukar corak permainan ketika dia (Bagas) berasa tertekan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia gembira dengan kemenangan semalam dan berharap semangat itu dibawa sehingga perlawanan seterusnya.

“Bagi perlawanan esok (hari ini) saya rasa ia sedikit sukar buat saya kerana pemain lawan (Enzi) bukannya calang-calang. Jadi, saya perlu memberikan segala-galanya ketika menentangnya. Tidak kira apa keputusan sekali pun saya tetap akan memberikan yang terbaik,” kata Jia Wei.

Turut mara, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang mengalahkan Fathurrahman Fauzi (Indonesia) 23-21, 21-9 dan dia akan menentang Zhang Qi dari China hari ini.

Gandingan beregu wanita negara, Desiree Siow-Ti Wei Chyi berjaya melakar kejutan apabila menumpaskan pilihan utama dari Singapura, Putri Sari Dewi Citra-Jin Yujia 13-21, 24-22, 21-9.

Satu lagi beregu wanita negara, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Chen Si-Liu Lin dari China selepas mencatat kemenangan 21-19, 22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 10:17 AM