PEMAIN badminton negara menyerbu ke arah M Thinaah (melutut) dan Pearly Tan selepas menewaskan India 3-1 di final berpasukan campuran di Birmingham 2022 malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN badminton negara menyerbu ke arah M Thinaah (melutut) dan Pearly Tan selepas menewaskan India 3-1 di final berpasukan campuran di Birmingham 2022 malam tadi. FOTO Bernama
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Beregu wanita, M Thinaah-Pearly Tan yang menyumbang mata kemenangan untuk Malaysia meraih pingat emas badminton berpasukan campuran, malam tadi mendedikasikan kejayaan cemerlang itu kepada rakyat Malaysia.

"Ini adalah satu kejayaan besar dan bermakna buat Malaysia. Sudah tentu kami dedikasikan kejayaan ini kepada negara selain keluarga, rakan serta mereka yang tidak pernah henti-henti menyokong kami," kata Thinaah selepas aksi final di National Exhibition Center (NEC) di sini.

Pada aksi final sengit dan mendebarkan itu, Malaysia menewaskan juara bertahan India 3-1.

Selain Thinaah-Pearly, dua lagi mata diperoleh menerusi beregu Aaron Chia-Soh Woi Yik dan perseorangan lelaki, Ng Tze Yong manakala satu mata tercicir menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Thinaah-Pearly menundukkan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17 pada aksi keempat, sekali gus membantu Malaysia membalas dendam kekalahan 1-3 kepada India di Gold Coast, Australia pada 2018.

Kejayaan itu turut menambah koleksi emas negara setakat semalam kepada tiga selepas atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan menyumbang emas pertama negara selain Muhamad Aznil Bidin.

Thinaah berkata, mereka enggan terbuai dengan kejayaan memenangi emas pertama menerusi badminton itu, sebaliknya mahu fokus bagi acara individu selepas ini.

"Buat masa ini kami hanya mahu kembali kepada momentum kami dan memulakan dengan semangat baharu untuk menyerlah dalam acara beregu wanita," katanya.

Sementara itu, Aaron berkata, mereka gembira dengan kejayaan memenangi emas bagi acara berpasukan campuran selepas bertarung sengit dengan India.

Katanya, kemenangan itu sudah pasti membakar lagi semangat mereka untuk menghadapi saingan individu selepas ini bagi meraih satu lagi pingat buat negara.

"Kejayaan memenangi pingat emas ini sudah pasti memberi keyakinan lebih tinggi kepada kami untuk beraksi cemerlang pada acara individu selepas ini," katanya yang beraksi kali pertama di Sukan Komanwel.

Aaron-Wooi Yik yang turut diletakkan sebagai pemain pilihan bagi acara beregu dijadual turun berentap, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 4:12 PM