BEREGU utama negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik tewas kepada pemain China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di separuh akhir Terbuka Indonesia, baru-baru ini. FOTO BADMINTON PHOTO
BEREGU utama negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik tewas kepada pemain China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di separuh akhir Terbuka Indonesia, baru-baru ini. FOTO BADMINTON PHOTO
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Terbuka Malaysia yang bakal bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini diharap akan menamatkan penantian beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul kejuaraan pertama yang masih dinanti-nantikan mereka.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking keenam dunia belum pernah memenangi sebarang kejohanan antarabangsa, sebaliknya hanya muncul naib juara sebanyak lapan kali termasuk di Terbuka Thailand 2020 dan Seluruh England 2019.

Memandangkan Terbuka Malaysia dianjurkan semula selepas menyepi akibat pandemik Covid-19, Aaron-Wooi Yik tidak mahu mensia-siakan peluang terbaik untuk cuba merangkul kejuaraan kali pertama di depan penyokong sendiri di Arena Axiata.

"Sudah pasti pada setiap kejohanan disertai, kami mahu jadi juara. Kali ini kami akan cuba lagi dan sedar ia bukan mudah, tetapi saya percaya dengan sokongan peminat, ia akan menjadi pembakar semangat untuk kami.

"Sudah dua tahun tiada kejohanan besar di Malaysia dengan kali terakhir adalah BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari lalu) tetapi itu pun tidak ramai sangat orang.

"Jadi, ini adalah pentas terbaik untuk kami dan kami tidak mahu mengecewakan peminat," katanya.

Jelas Aaron, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky sentiasa mengingatkan kepada mereka sudah tidak mudah berputus asa dan dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan.

Katanya, sebelum ini, apabila sampai separuh akhir atau final, disebabkan terlalu banyak berfikir (untuk menjadi juara), mereka hilang fokus di dalam gelanggang.

"Faktor itu menjejaskan permainan kami dan membuat kami tewas dalam perlawanan penting itu.

"Kami harap boleh kekal fokus dalam setiap perlawanan di Terbuka Malaysia nanti," katanya.

Pasangan utama negara itu akan membuka tirai Terbuka Malaysia menentang beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 2:56 PM