PEMAIN beregu negara, Aaron Chia (kanan) memeluk Soh Woo Yik selepas muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Ahad lalu. FOTO EPA
PEMAIN beregu negara, Aaron Chia (kanan) memeluk Soh Woo Yik selepas muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Ahad lalu. FOTO EPA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya kejayaan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah muncul juara dunia akan memberi inspirasi kepada barisan pemain negara yang lain.

Legenda badminton Indonesia itu berkata, pencapaian Aaron-Wooi Yik adalah sesuatu yang luar biasa apabila menamatkan penantian Malaysia selama 45 untuk melihat pemain negara memegang status juara dunia.

"Sudah pasti ia memberikan inspirasi cukup besar kepada pemain negara sebab Malaysia perlu menunggu selama 45 tahun untuk memenangi kejuaraan dunia.

"Tidak adil untuk saya beri tumpuan kepada pemain beregu sahaja, tetapi apa yang saya katakan ini merangkumi pemain perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran," katanya.

Jelas Rexy, kejayaan Aaron-Wooi Yik itu sebenarnya cukup penting untuk arena badminton negara kerana mereka membuka jalan bagi meyakinkan pemain lain bahawa Malaysia mampu muncul juara dunia.

"Sekarang mereka (pemain lain) boleh fikir yang Malaysia sebenarnya ada kemampuan untuk memenangi banyak kejuaraan termasuk juara dunia.

"Bagi saya, Aaron-Wooi Yik adalah pembuka jalan yang selama ini tersekat untuk memenuhi impian pemain lain memenangi kejuaraan dunia," katanya.

Rexy berkata, kemenangan Aaron-Wooi Yik turut memenuhi impiannya yang mahu membantu pemain negara memenangi kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, dia sukar menggambarkan kegembiraan itu menerusi kata-kata kerana ia sangat istimewa.

Ahad lalu, Aaron dan Wooi Yik melakar sejarah muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia dekat Tokyo selepas menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 5:11 PM