REXY akui Wooi Yik beraksi dalam keadaan pucat. FOTO NSTP
REXY akui Wooi Yik beraksi dalam keadaan pucat. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Isu keracunan makanan yang berlaku di Kejohanan Badminton Masters Indonesia memaksa beberapa pemain menarik diri daripada meneruskan perjuangan.

Malah pemain negara turut terkena tempiasnya apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut dilaporkan terpaksa bermain dalam kesakitan sehingga menyebabkan mereka terpaksa akur akan kekalahan kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi suku akhir kelmarin apabila tumpas 21-16, 13-21, 17-21.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bagaimanapun tidak mahu menjadikan itu alasan biarpun menjelaskan Wooi Yik terpaksa bermain dalam keadaan pucat kerana menahan sakit.

"Memang sebelum turun bermain Wooi Yik mengalami keracunan makanan tapi dia tetap mahu teruskan permainan. Kita dapat lihat pada set ketiga, badan dia mula rasa sejuk dan muka sudah mula pucat.

"Saya amat yakin, kalau semuanya okey dan tak ada masalah, mereka boleh saja menewaskan beregu China itu dan pergi ke peringkat seterusnya," katanya.

Terdahulu Jawatankuasa penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022 sedang menyiasat kes disyaki keracunan makanan yang dialami pemain jemputan dari Malaysia dan Thailand selepas sarapan pagi di hotel, pada Jumaat.

Jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia, Broto Happy berkata pihaknya amat bersimpati dan prihatin atas perkara tersebut yang diketahuinya melalui sosial media.

"Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Broto berkata hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan yang tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

Semalam media melaporkan lima pemain Malaysia dan beberapa pemain Thailand mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 4:20 PM