NUR Izzuddin (kanan) turut mengalami keracunan makanan dan bermain dalam kesakitan sebelum gandingannya bersama Goh Sze Fei tewas di suku akhir. FOTO ihsan FB BAM
NUR Izzuddin (kanan) turut mengalami keracunan makanan dan bermain dalam kesakitan sebelum gandingannya bersama Goh Sze Fei tewas di suku akhir. FOTO ihsan FB BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semua pemain badminton negara yang mengalami keracunan makanan di Jakarta, Indonesia, minggu lepas, sudah pulih daripada penyakit itu.

'Musibah' yang berlaku itu ternyata menjejaskan cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia, baru-baru ini.

Hanya beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada naib juara dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21.

Seramai 16 atlet Malaysia terjejas akibat keracunan makanan itu.

Ini termasuk dua pemain beregu lelaki Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani yang terpaksa beraksi dalam kesakitan sebelum tersingkir di suku akhir.

Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia mengalami kekalahan mengejut kepada pemain nombor 424 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, 16-21, 21-13, 21-17.

Nur Izzuddin bersama Goh Sze Fei pula tunduk kepada beregu utama dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 10-21, 21-11, 21-18.

Di sebalik kejadian itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberitahu Bernama, semua pemain berhasrat untuk beraksi lagi di Jakarta, kali ini pada Terbuka Indonesia 2022.

Ketika ditanya sama ada kejadian itu akan memberi kesan negatif kepada prestasi pemain pada Terbuka Indonesia, Rexy berkata: "Saya nampak tidak ada".

Dalam pada itu, pakar beregu berusia 54 tahun itu mengingatkan semua pemain supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan di sana dan paling penting, elakkan mengambil minuman berais.

Rexy berkata, semua pemain akan kekal berada di hotel sama walaupun beberapa pemain persendirian dilaporkan bertukar hotel kerana isu kebersihan, yang menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan.

Terbuka Indonesia iaitu acara Super 1000 yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$1.2 juta (RM5.30 juta) akan bermula esok hingga 19 Jun di Istora Senayan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:39 PM