FLANDY (kiri) memberikan ucapan tahniah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selepas menang gangsa acara badminton beregu lelaki di Tokyo 2020, Sabtu lalu. FOTO EPA
FLANDY (kiri) memberikan ucapan tahniah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selepas menang gangsa acara badminton beregu lelaki di Tokyo 2020, Sabtu lalu. FOTO EPA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele menerima kecaman daripada peminat badminton Indonesia selepas membawa gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gangsa dengan menundukkan beregu lelaki Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Tokyo 2020.

Namun, Flandy dengan tenang menjawab beliau menjalankan tugas secara profesional kerana tugas tetap tugas.

Beliau berkata, bermain secara adil kerana di dalam gelanggang lawan tetap lawan dan di luar gelanggang, kawan tetap kawan.

"Ini badminton dan bermain 'fair play'. Kita perlu bersikap profesional, itu saja," katanya.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik itu mengulangi pencapaian dicapai Flandy ketika merangkul gangsa di Olimpik Athens 2004.

Begitupun, Flandy yang mula mengambil alih tugas selaku jurulatih beregu pada Jun tahun lalu, berkata masih banyak kekurangan perlu diperbaiki beregu lelaki negara biarpun mereka tampak cukup bersemangat.

"Perjuangan Aaron dan Wooi Yik luar biasa. Mereka main bagus dan optimis untuk dapatkan pingat.

"Program disiapkan untuk mereka luar biasa dan persiapan mereka bagus.

"Namun mereka selepas ini perlu berusaha lebih keras dan tingkatkan lagi disiplin dan kelajuan. Paling penting adalah ketahanan dan 'power'. Itu mereka masih kurang," katanya.

Flandy berkata, jika dibandingkan dengan beregu Taiwan dan China, beregu negara masih kurang daripada segi kekuatan dan kelajuan.

Terdahulu, pingat emas acara beregu lelaki dimenangi pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin manakala Li Junhui-Liu Yuchen meraih perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:08 PM