ZII Jia menegaskan kejayaan menewaskan Kean Yew adalah tonik terbaik buat dirinya. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia menegaskan kejayaan menewaskan Kean Yew adalah tonik terbaik buat dirinya. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu membuktikan bahawa keputusannya bergelar pemain profesional adalah satu yang tepat dan tidak mahu lagi berdepan dengan prestasi tidak menentu.

Apa yang menjadi fokus utamanya tahun ini adalah untuk cuba menstabilkan corak permainannya pada setiap kejohanan yang disertai.

Malah kemenangan ke atas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dilihat menjadi batu loncatan terbaik untuk dia terus mengorak langkah melakarkan lebih banyak kejayaan terutama selepas berdepan dengan pelbagai isu hangat.

Justeru Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 mampu menjadi lonjakan kepada permulaan prestasi yang lebih cemerlang buat Zii Jia.

"Sasaran utama saya adalah untuk stabilkan prestasi. Saya akan cuba dengan apa cara sekalipun bagi menyelesaikan perkara itu.

"Dulu apabila saya buat satu kesilapan, saya mudah saya hilang fokus dan bergelut dengan prestasi tidak menentu. Tapi sekarang saya belajar sesuatu.

"Mungkin bermain tanpa emosi adalah salah satu cara untuk saya stabilkan permainan saya," katanya.

Pemain yang menghuni ranking ketujuh dunia itu menegaskan kejayaan menewaskan Kean Yew adalah tonik terbaik buat dirinya terutama ketika ia menjadi perhatian seluruh peminat negara.

Selepas meninggalkan BAM, pemain berasal dari Kedah itu kini akan dibimbing oleh jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya dan beberapa lagi individu termasuk fisioterapi turut akan dilantik untuk bersama pasukannya bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 berharap dapat membawa full team bersamanya apabila beraksi pada saingan Terbuka Jerman yang bermula 8 hingga 13 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:38 PM