LEE Zii Jia melangkah ke suku akhir Terbuka Indonesia dan akan berdepan pemain Singapura, Low Kean Yew, esok. FOTO FB FAM
LEE Zii Jia melangkah ke suku akhir Terbuka Indonesia dan akan berdepan pemain Singapura, Low Kean Yew, esok. FOTO FB FAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan penguasaannya apabila menempah tiket ke suku akhir Terbuka Indonesia, esok.

Pemain profesional negara itu mara selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Sameer Verma dari India 21-10, 21-13 pada aksi pusingan kedua di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia akan membuat perhitungan menentang juara dunia dari Singapura, Low Kean Yew yang mengatasi pemain Perancis, Toma Junior Popov 21-16, 21-9.

Pertembungan itu pastinya mencuri tumpuan apabila menemukan dua juara iaitu Zii Jia yang muncul juara Asia manakala Kean Yew pula bergelar juara dunia dua tahun lalu.

Rekod pertemuan kedua-dua pemain masih lagi berpihak kepada Zii Jia yang kini menghuni ranking kelima dunia dengan rekod 3-2.

Kali terakhir dua seteru itu berentap adalah pada saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Asia (BATC) Februari lalu dengan kemenangan berpihak kepada Zii Jia.

Zii Jia berkata, selepas mengatasi Sameer, dia dapat merasakan prestasinya semakin baik, namun menjangkakan perlawanan berdepan Kean Yew pasti akan menjadi sukar.

"Anda mungkin dapat lihat saya agak bergelut pada perlawanan pusingan pertama ketika bertemu pemain Thailand, tapi sekarang saya rasa prestasi semakin baik.

"Saya harap momentum ini dapat dikekalkan apabila berdepan Kean Yew nanti kerana dia seorang lawan yang sukar," katanya.

Zii Jia, 24, berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan kemenangan, sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik dan menikmati perlawanan dan kekal fokus.

Mengiringi Zii Jia ke suku akhir adalah beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-17, 16-21, 21-6.

Turut mara, dua beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie-Valaree Siow.

Pang Ron-Ee Wei mara selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-19, 21-19 manakala Tang Jie-Valeree tidak perlu bermandi peluh apabila lawan mereka yang juga pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti terpaksa menarik diri.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi tiga lagi wakil negara iaitu dua beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selain beregu campuran, Soong Joo Ven-Goh Liu Ying yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 4:41 PM