LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Langkah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Terbuka Perancis terhenti seawal pusingan pertama apabila tewas di tangan pemain dari Singapura, Loh Kean Yew.

Pemain ranking kelapan dunia itu tewas kepada Kean Yew yang kini menghuni ranking ke-39 dunia, 22-24, 14-21 dalam aksi yang berlangsung selama 39 minit di Stade Pierre de Coubertin.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan mempamerkan semangat melawan pada set pertama apabila berjaya mengejar lawan biarpun pada satu ketika ketinggalan 14-18 dan berjaya menyamakan kedudukan 20-20 namun terpaksa akur tewas 22-24.

Bagaimanapun senario berbeza di set kedua apabila Zii Jia dilihat seperti hilang arah sehingga membenarkan Kean Yew mendahului 11-7.

Juara Seluruh England itu cuba mengejar namun lawannya terus menjarakkan kedudukan 13-18 sebelum menamatkan set kedua 21-14 dalam tempoh 19 minit.

Sementara itu beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara yang bergerak secara profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen 25-23 21-12

Turut mara ke pusingan kedua beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen yang menewaskan pasangan dari Ukraine, Maria Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka 21-12 21-17.

Bagaimanapun hasrat beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei untuk melakarkan kejutan tidak kesampaian apabila tewas di tangan beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 20-22, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 11:06 PM