NORZA puas hati dengan pencapaian pemain negara terutama Zii Jia yang berjaya menjadi naib juara Terbuka Hylo. FOTO AIZUDDIN SAAD
NORZA puas hati dengan pencapaian pemain negara terutama Zii Jia yang berjaya menjadi naib juara Terbuka Hylo. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memahami situasi pemain negara yang mengalami keletihan selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat.

Justeru tiada nada khuatir dilemparkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria kepada barisan pemain negara dan menyerahkan perancangan seterusnya kepada jurulatih untuk menentukan hala tuju pemain.

BAM juga masih belum menekan butang panik dengan prestasi tidak menentu pemain perseorangan pertama negara Lee Zii Jia biarpun dia tewas dua kali kepada pemain yang sama dari Singapura, Loh Kean Yew dan yang terbaru ketika di final Terbuka Hylo, Ahad lalu.

"Secara keseluruhannya saya puas hati dengan pencapaian pemain negara terutama Zii Jia yang berjaya menjadi naib juara Terbuka Hylo.

"Saya juga memahami ini adalah kejohanan kelima buat pemain dan mungkin aspek keletihan menjadi faktor penentu kepada prestasi pemain.

"Namun apa yang menarik minat saya, adalah persaingan sihat yang ditunjukkan oleh pemain profesional negara dengan pemain BAM dan itu dilihat sebagai satu perkembangan yang sangat menarik.

"Kita dapat lihat bahawa semuanya bersaing atas bendera Malaysia.," katanya.

Mengulas mengenai Zii Jia, Norza berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan namun menyerahkan segala keputusan kepada jurulatih untuk menentukan hala tuju pemain selepas ini yang dijadualkan menyertai Masters Indonesia dari 16 hingga 21 November ini.

"Apa saja keputusan, saya serahkan kepada peringkat kejurulatihan untuk menentukan perancangan mereka seterusnya.

"Bagaimanapun perlu diingatkan supaya untuk tidak memberi tekanan sehingga boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada pemain," katanya.

Zii Jia sebelum itu membantu skuad badminton negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland dan layak ke suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark, tewas di suku akhir Terbuka Denmark, kalah di pusingan pertama Terbuka Perancis dan muncul naib juara Terbuka Hylo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:02 PM