ZII Jia berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Hylo sebentar tadi selepas menumpaskan Srikath 21-19, 22-20. FOTO Ihsan BWF
ZII Jia berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Hylo sebentar tadi selepas menumpaskan Srikath 21-19, 22-20. FOTO Ihsan BWF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berpeluang untuk melunaskan dendam terhadap wakil Singapura, Loh Kean Yew selepas mereka bakal berentap di perlawanan akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken malam ini.

Kean Yew sebelum ini memalukan Zii Jia di pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu selepas mengalahkan anak jati Kedah itu 24-22, 21-14.

Ia bukan saja peluang terbaik buat Zii Jia untuk mengalahkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu, malah mampu untuk meraih gelaran kedua tahun ini selepas muncul juara Seluruh England.

Zii Jia ternyata mengambil kesempatan selepas ketiadaan beberapa jaguh dunia di kejohanan bertaraf Super 500 itu dan peluangnya untuk meraih kejuaraan ini juga sangat cerah apabila Chou Tien Chen disingkirkan Kean Yew di pusingan pertama.

Pemain berusia 23 tahun itu menempah slot perlawanan akhir selepas berjaya menumbangkan K Srikanth dari India 21-19, 22-20 dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.

Dia sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut, Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua di Saarbrucken Sebelum ini berjaya mara sehingga ke suku akhir Terbuka Denmark tetapi tewas di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen.

Ia bakal menampilkan aksi keempat Zii Jia dan Kean Yew dengan dua perlawanan awal sebelum ini menjadi milik Zii Jia ketika kedua-duanya bertemu di pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Thailand (2016) dan pusingan pertama Terbuka China (2019).

Kean Yew mara ke perlawanan akhir selepas berjaya menumpaskan seorang lagi wakil India, Lakshya Sen 21-18, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 2:46 AM