KEAN Yew berpeluang menjalani latihan bersama Axelsen di Dubai, awal tahun ini. FOTO EPA
KEAN Yew berpeluang menjalani latihan bersama Axelsen di Dubai, awal tahun ini. FOTO EPA
Syazwan

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki Singapura Loh Kean Yew melaungkan amaran bahawa dia bukanlah 'biasa-biasa' apabila menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan juara dunia 2017, Viktor Axelsen, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, awal pagi tadi.

Walaupun, Kean Yew tewas pada set pertama namun dia berjaya bangkit untuk menewaskan pilihan kedua kejohanan itu dengan kemenangan 14-21, 21-9, 21-6 sekali gus akan bertemu dengan Luka Wraber dari Austria bagi perebutan tiket ke pusingan ketiga.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan pertama pemain kelahiran Pulau Pinang itu ke atas pemain nombor satu dunia berkenaan selepas tewas semua empat pertemuan sebelum ini.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Selepas saya tewas set pertama, saya perlu lebih pantas di set kedua dan ketiga. Saya perlu kekal fokus.

"Saya tidak tahu bila dia akan kembali bangkit dan jika dia mendapat semula keyakinannya, saya akan mati.

"Saya fikir dia berada di bawah tekanan yang tinggi dan dia mahukan kejuaraan di sini. Saya pasti dia akan kembali bangkit. Perjalanan saya masih panjang dan saya perlu kekal fokus untuk perlawanan seterusnya," kata Kean Yew yang berpeluang menjalani latihan bersama Axelsen di Dubai, awal tahun ini.

Sementara itu, Axelsen berkata, Kean Yew berhak untuk menang kerana mempamerkan aksi cukup memukau sepanjang tempoh 'pertarungan' mereka.

"Saya gembira dengan pencapaian sepanjang tahun ini tetapi hari ini bukan hari saya. Saya tidak bermain seperti mana yang saya mahukan.

"Kean Yew bermain dengan baik dan berhak dengan kemenangan ini. Saya cuba melakukan yang terbaik dan bangkit tetapi tidak berjaya.

"Saya tidak mahu berdiri di sini dan meratapi kekalahan ini kerana saya tahu saya boleh melakukan yang sebaliknya. Kean Yew menang dan dia berhak dengan kemenangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:58 PM