KEAN Yew buat Zii Jia putih mata. FOTO Instagram bwfofficial
KEAN Yew buat Zii Jia putih mata. FOTO Instagram bwfofficial
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan Singapura, Loh Kean Yew menganggap latihan hampir sebulan bersama pemenang pingat emas lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen di Dubai membantu meningkatkan tahap permainannya.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang lahir di Pulau Pinang namun berpindah ke republik itu ketika berusia 13 tahun, mengejutkan pemain utama negara Lee Zii Jia 24-22, 21-14 pada pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris malam tadi.

Ia kemenangan sulung Kean Yew ke atas Zii Jia dalam empat pertemuan selepas kalah dua aksi pada jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selain perlawanan penentuan pingat emas Sukan Sea 2019 di Manila.

"Ia kemenangan amat penting buat saya kerana saya tumpas kepadanya beberapa kali," kata Kean Yew.

"Ia juga amat bagus bagi meningkatkan keyakinan saya, tapi saya tidak boleh terlalu gembira mengenainya sekarang kerana saya perlu bersiap sedia bagi perlawanan seterusnya.

"Serangannya amat kuat. Siapa saja yang boleh mengawal permainan di jaring berpeluang untuk menyerang. Saya fikir saya mengambil inisiatif lebih sedikit. Ketika ini persembahan saya bagus. Saya perlu kekal fokus dan terus bekerja keras," katanya.

"Berlatih bersama Viktor Axelsen di Dubai banyak membantu. Ia satu pengalaman yang bagus. Sudah tentu ia menyumbang kepada peningkatan prestasi saya. Lagipun dia seorang juara Olimpik, berapa kali anda boleh berlatih dengan seorang juara Olimpik?"

Menariknya, lawan Kean Yew pada pusingan kedua Lakhsya Sen dari India turut berlatih bersamanya di Dubai selain pemain sedang meningkat dari Kanada, Brian Yang.

Kean Yew menumpaskan Sen untuk menjuarai Terbuka Belanda di Almere 11 hari lalu. Bagaimanapun kejayaan paling manis dilakar pemain republik itu setakat ini adalah menjuarai Masters Thailand 2019 apabila dia menundukkan jaguh legenda China, Lin Dan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:57 PM