Joo Ven ketika menentang Kean Yew dalam perlawanan perseorangan kedua, suku akhir badminton Sukan SEA KL2017. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Joo Ven ketika menentang Kean Yew dalam perlawanan perseorangan kedua, suku akhir badminton Sukan SEA KL2017. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan kedua Soong Joo Ven muncul wira buat skuad berpasukan lelaki negara apabila menghadiahkan mata kemenangan untuk mengalahkan Singapura 3-0 dalam saingan separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Joo Ven melaksanakan tugas dengan baik walaupun kalah di set pertama apabila berjaya menundukkan pemain kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew 9-21, 21-17, 21-18 bagi membawa Malaysia ke penentuan emas menentang Indonesia, esok.

“Pada set pertama memang saya bermain dengan perlahan, Kean Yew pula banyak melakukan serangan bertali-arus.

“Saya agak bergelut untuk menyesuaikan diri pada aksi pembukaan. Bagaimanapun di set kedua dan ketiga, saya berjaya meningkatkan tahap permainan sebelum melaksanakan tugas meraih mata kemenangan,” katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini juga mengakui bahawa dia bersemangat untuk membawa pasukan lelaki negara mara ke perlawanan akhir seterusnya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu meraih gangsa.

“Anda dapat lihat sendiri bagaimana keghairahan, kegembiraan dan prestasi saya hari ini. Saya harap kami mampu melakukan kejutan menumpaskan pasukan pilihan Indonesia,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir itu, perseorangan pertama negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyumbang mata sulung walaupun di set pertama dia tumpas sebelum bangkit semula untuk mencatat kemenangan 19-21, 21-17, 21-10 ke atas Ryan Ng.

Strategi Singapura dengan memecahkan gandingan beregu lelaki apabila membariskan Terry Hee-Loh Kean Hean dilihat memakan diri apabila pasangan negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mencatatkan kemenangan 21-10, 20-22, 21-15 dalam tempoh 44 minit.

Sementara itu, Indonesia yang juga penyandang emas berjaya menumpaskan Thailand 3-1 untuk mara ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 7:25 PM