ZII Jia bakal beraksi di Seluruh England. FOTO BAM
ZII Jia bakal beraksi di Seluruh England. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ada petanda positif yang dipamerkan oleh pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia selepas tamatnya aksi di Terbuka Switzerland.

Biarpun gagal meraih kejuaraan apabila langkahnya terhenti di separuh akhir, namun mutu permainannya menunjukkan adanya peningkatan.

Perkara itu diakui oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang mengharapkan pemain berusia 22 tahun ini dapat menemui kembali rentaknya yang hilang di kejohanan seterusnya iaitu Seluruh England dari 17 hingga 21 Mac ini.

"Memang kami di BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mengharapkan aksinya akan lebih bagus daripada aksi di separuh akhir Terbuka Switzerland.

"Banyak perubahan yang boleh dilihat dari segi prestasi yang dia (Zii Jia) cuba perbaiki dan dia juga banyak mempamerkan inisiatif untuk mencari mata.

"Sekarang ini kita sudah nampak hala tuju dan program ke atasnya juga berada di landasan yang betul untuk membawanya kembali ke tahap terbaik. Saya harap dia akan lebih berani untuk pamerkan apa yang dia ada sebelum ini," katanya.

Zii Jia diletakkan sebagai pilihan keenam dilihat tidak mempunyai masalah untuk melepasi pusingan pertama di Seluruh England apabila diundi bertemu pemain Kanada, Brian Yang.

Andai berjaya mara, menantinya di pusingan kedua sama ada pemain Denmark Hans-Kristian Solberg Vittinghus atau Misha Zilberman dari Israel.

Cabaran sebenar Zii Jia dijangka bermula dalam aksi suku akhir apabila dia dijangka berdepan pemain nombor satu dunia, Kento Momota yang kembali ke gelanggang selepas pulih dari Covid-19.

Pentas Seluruh England bukan sesuatu yang asing buat pemain negara itu apabila dia menunjukkan prestasi memberangsangkan tahun lalu sehingga mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-17, 13-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:08 PM