ZII Jia ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan semalam. FOTO AFP
ZII Jia ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan semalam. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah di atas kejayaan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang merangkul trofi Seluruh England semalam.

Beliau juga sempat berbual dengan pemain kelahiran Alor Setar itu melalui panggilan video dan menyatakan bahawa beliau berbangga dengan semangat yang dipamerkan ketika mengalahkan wakil Denmark, Viktor Axelsen di Birmingham.

"Syabas Lee Zii Jia! All England milik kita!. Tahniah dan syabas buat Lee Zii Jia, jaguh badminton kita yang berjaya merangkul kejuaraan Seluruh England sebentar tadi (semalam) menewaskan bekas juara dunia dan pemain disegani ranking nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark," katanya melalui media sosial.

Ujar Reezal Merican, beliau sendiri dapat rasakan seluruh rakyat Malaysia turut bersorak memberi sokongan dan meraikan kejayaan yang manis itu.

"Ia persembahan yang mantap dan cemerlang dari Lee Zii Jia. Tahniah dan syabas juga buat pasukan Malaysia di sana Chan Peng Soon-Liu Ying dan Pearly Tan-M Thinaah yang turut mempamerkan prestasi yang membanggakan di bawah Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann dan barisan jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Tahniah BAM di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta seluruh keluarga badminton negara. Kebanggaan kita bersama! Semangat Untuk Malaysia! Demi Malaysia!," katanya.

Zii Jia melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan, Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 2:34 PM