KAPTEN England, Harry Kane (tengah) belum menjaringkan gol pada kempen Euro 2020. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane (tengah) belum menjaringkan gol pada kempen Euro 2020. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang England, Dominic Calvert-Lewin menyokong kaptennya, Harry Kane yang memiliki kualiti tidak mampu dipertikaikan, sekalipun belum menyinar di Euro 2020.

Kane belum mampu menjaringkan gol dan hanya melakukan satu percubaan tepat pada tiga aksi peringkat kumpulan dan akan berdepan Jerman di pusingan kedua, Selasa ini.

Penyerang Everton, Calvert-Lewin hanya beraksi seminit walaupun prestasi Kane kurang memberangsangkan, tetapi dia mengakui gembira dengan tugasnya sebagai pembantu.

"Anda tahu dia memiliki kualiti yang tidak boleh dinafikan dan saya fikir dia mengemudi pasukan, dia kapten, jadi dia orang pertama akan dilihat dan dikritik," kata Calvert-Lewin, hari ini.

"Dia melakukannya secara konsisten sejak beberapa musim lalu, jadi saya tidak sangsi bahawa dia akan menyerlah pada kejohanan besar."

England tidak dibolosi setakat ini, tetapi dua gol dijaringkan adalah paling rendah bagi pasukan yang muncul juara kumpulan di Kejuaraan Eropah.

"Daripada sudut kreatif, saya percaya banyak lagi akan kami pamerkan." kata Calvert-Lewin, yang bersama skuad Bawah 20 England menang Piala Dunia pada 2017.

"Saya fikir, perkara paling utama dalam kejohanan bola sepak adalah anda tidak dibolosi kerana perbezaan memang sedikit, jadi tidak bolos amat penting."

Kane menang Kasut Emas ketika England menduduki tempat keempat Piala Dunia 2018, tiga tahun lalu.

Tetapi, lima daripada enam gol itu dijaringkan menerusi dua perlawanan awal di Russia sebelum persembahannya menurun di peringkat berikutnya.

Sekalipun hambar di peringkat kumpulan, penyerang Tottenham itu percaya dia dalam keadaan terbaik untuk menyerlah di pusingan kalah mati, berbanding di Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 2:50 AM