Penyerang England, Ollie Watkins (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO AFP
Penyerang England, Ollie Watkins (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO AFP
AFP

London: Gareth Southgate memuji penampilan Ollie Watkins buat pertama kali penuh epik dengan skuad England ketika penyerang Aston Villa itu meledak gol dalam kemenangan 5-0 ke atas San Marino pada perlawanan pembukaan aksi kelayakan Piala Dunia, pagi ini.

Empat tahun lalu, Watkins bermain di liga divisyen empat Inggeris bersama Exeter.

Karier pemain berusia 25 tahun itu melonjak selepas itu, menyertai Brentford pada tahun 2017 sebelum berpindah ke Villa tahun lalu selepas menjadi penjaring terbanyak Liga Kejuaraan.

Dia menjaringkan 12 gol dalam kempen sulungnya dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu, dan dipanggil buat kali pertama untuk menyertai skuad England serta penampilan sulung menentang San Marino di Wembley.

Dengan England mendahului empat gol hasil jaringan Dominic Calvert-Lewin yang meledak dua kali, gol antarabangsa pertama James Ward-Prowse dan rembatan Raheem Sterling, Watkins dimasukkan pada minit ke-63.

Umpanan Phil Foden, membolehkan Watkins meledak jaringan menerusi sentuhan pertamanya dengan jersi England.

"Perkara pertama yang anda lihat ialah reaksi rakan sepasukan. Ia menunjukkan betapa bersatunya mereka. Mereka tahu betapa pentingnya ia untuk dia.

"Cepat menyesuaikan diri dalam pasukan. Seorang yang merendah diri dan saya gembira dapat memberikan lebih kurang setengah jam.

"Untuk mendapatkan jaringan buat dirinya. Ia kelihatan seperti kisah dongeng bukan?" kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 9:41 AM