BRANTHWAITE meraikan jaringan Calvert-Lewin yang menanduk masuk gol kedua Everton.  FOTO Reuters
BRANTHWAITE meraikan jaringan Calvert-Lewin yang menanduk masuk gol kedua Everton. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Everton meraih kemenangan pertama mereka dalam aksi derby Merseyside di Goodison Park sejak 2010 yang menyebabkan impian Liverpool untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin tipis selepas tewas 0-2, awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Arsenal dan hanya satu mata di hadapan juara bertahan Manchester City yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Jaringan Jarrad Branthwaite dan Dominic Calvert-Lewin membolehkan Everton lapan mata di atas zon penyingkiran dan mereka tampak hampir pasti terus kekal dalam saingan liga elit Inggeris walaupun dipotong lapan mata atas dua kesalahan melanggar peraturan kewangan.

Klopp tidak pernah tewas dalam lapan aksi terakhirnya di Goodison tetapi kunjungan terbaru yang paling mengecewakan.

Harapan untuk menghadiahkan kejayaan terbaik buat jurulatih dari Jerman itu yang sembilan tahun mengendalikan kelab semakin kelam.

Menurut laporan, pengurus Feyenoord Arne Slot kini menjadi calon utama menggantikan Klopp dan beberapa minggu terakhir menyerlahkan kelemahan yang perlu diberi tumpuan hierarki Liverpool.

Reds hanya menang sekali daripada empat aksi terakhir liga dan turut tersingkir daripada Piala FA dan Liga Europa.

Klopp melakukan enam pertukaran selepas merehatkan beberapa tonggak ketika menang 3-1 di Fulham tetapi gagal mendapat respon diinginkannya.

Manakala Everton yang menewaskan Nottingham Forest Ahad lalu mempamerkan aksi cemerlang tidak seperti skuad yang mengharungi 13 perlawanan liga tanpa kemenangan antara Disember dan April.

Skuad tuan rumah hampir mendapat penalti apabila Calvert-Lewin dijatuhkan Alisson Becker tetapi VAR menjadi penyelamat selepas penyerang Everton itu terlebih dahulu ofsaid.

Alisson kemudiannya menepis tandukan Calvert-Lewin dan percubaan Ben Godfrey sedikit tersasar ketika Liverpool tampak sukar membendung ancaman Everton daripada set-piece.

Kelemahan pertahanan Reds dihukum pada minit ke-27 selepas Branthwaite menolak bola masuk susulan kesilapan

Alexis Mac Allister.

Calvert-Lewin menambah gol kedua Everton menerusi tandukan kencang hasil sepakan sudut Dwight McNeil sekali gus meranapkan impian Liverpool untuk meraih tiga mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 7:30 AM