SHAMALA mahu memastikan setiap program yang dirangka mempunyai hala tuju. FOTO Bernama
SHAMALA mahu memastikan setiap program yang dirangka mempunyai hala tuju. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Program pembangunan hoki akar umbi akan lebih sistematik dan menyeluruh apabila setiap negeri akan melantik penyelaras teknikal bagi memantau setiap program dan perkembangan 'ubi muda'.

Malah, peranan penyelaras berkenaan yang akan dilantik dalam masa terdekat ini memudahkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapatkan maklumat terperinci berkaitan hasil program pembangunan di negeri sekali gus merencanakan modul untuk memantapkan lagi skuad negara pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Kanan MHC, Prof Datuk Dr S Shamala penyelaras teknikal negeri yang akan dilantik perlu berurusan terus kepada badan induk hoki negara dan pengarah teknikal yang akan dilantik nanti.

Beliau berkata, setiap perincian menerusi laporan yang dibentangkan oleh penyelaras teknikal negeri itu penting bagi menambahbaik program pembangunan akar umbi dan menyusun kembali beberapa perkara penting pada masa akan datang.

"Kita mahu memastikan setiap program yang dirangka mempunyai hala tuju yang jelas iaitu memastikan setiap peserta yang menyertai Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) berjaya.

"Pada masa sama, penyelaras teknikal negeri juga berperanan mengatur dan menyusun segala modul yang diberikan MHC kepada jurulatih dan peserta di peringkat akar umbi," katanya, di sini.

NHDP yang bakal dilaksanakan dalam waktu terdekat ini menampilkan kerjasama di antara MHC, Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu, Shamala berkata, pembangunan hoki negeri akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu negeri, daerah dan akar umbi.

"Pembahagian tiga level ini bergantung kepada keadaan atau situasi negeri terbabit dengan setiap daripadanya mempunyai jurulatih yang berperanan melatih dan memantau pemain hoki terutama mereka berpotensi ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 12:04 AM