ROSLAN (empat dari kiri) dan Subahan (empat dari kanan) selepas menandatangani MoA antara TNB dan Konfederasi Hoki Malaysia di Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar sambil disaksikan Norazni (kiri) dan Dr Shamala (dua dari kanan).
ROSLAN (empat dari kiri) dan Subahan (empat dari kanan) selepas menandatangani MoA antara TNB dan Konfederasi Hoki Malaysia di Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar sambil disaksikan Norazni (kiri) dan Dr Shamala (dua dari kanan).

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan saja syarikat utiliti yang bertanggungjawab ‘menyinari’ kehidupan jutaan rakyat Malaysia, malah menjadi pemangkin transformasi negara daripada era tradisional sehingga berada di ambang sebuah negara maju.

Selain itu, TNB turut sinonim dengan sukan hoki sejak 1970-an lagi termasuk melahirkan ramai pemain negara bertaraf dunia, lantas memahatkan TNB antara peneraju kemajuan negara dan penyumbang kesejahteraan rakyat.

Jumaat lalu, terukir satu lagi sejarah penuh bermakna apabila TNB memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi penajaan kejohanan hoki anjuran MHC berjumlah RM20 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2015.

Pada majlis itu, TNB diwakili Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, manakala MHC oleh Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, sambil disaksikan Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd Isa dan Timbalan Presiden MHC, Profesor Dr Shamala Subramaniam.

Berucap di majlis menandatangani MoA itu, Roslan berkata, melalui kerjasama strategik itu, TNB dapat meneruskan kesinambungan peranan dan sumbangan syarikat berkenaan dalam menyokong usaha kerajaan membangunkan sukan hoki selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Khazanah Nasional.

“Melalui MoA ini, TNB akan menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah RM4 juta setahun kepada MHC bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2019 dengan nilai keseluruhan tajaan berjumlah RM20 juta untuk menganjurkan kejohanan hoki di peringkat kebangsaan antaranya TNB Liga Hoki Malaysia, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia, TNB Piala Tun Abdul Razak dan banyak lagi.

“TNB begitu dekat dengan sukan hoki sejak dari dulu lagi. Malah, ramai di antara pemain hoki negara ialah anggota kerja TNB sendiri seperti Datuk Poon Fook Look, Mohd Sayuti Abdul Samad, Lailin Abu Hassan, Norazlan Bakar dan Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

“Buat masa ini, seramai lima anggota kerja TNB sedang mewakili pasukan hoki kebangsaan iaitu S Kumar, Mohamad Ramadhan Rosli, Norhizat Sumantri dan Shazril Irwan Nazeli,” katanya.

Menurutnya, dengan kesungguhan TNB itu juga dapat membantu membangunkan dan mencapai objektif memartabatkan sukan hoki negara di mata dunia.

Sementara itu, Subahan berkata, pihaknya begitu terharu dengan sokongan, sumbangan dan komitmen ditunjukkan TNB dalam usaha meningkatkan prestasi sukan hoki negara.

“Majlis ini amat bermakna buat kami dan ia adalah permulaan kepada masa depan yang hebat buat arena sukan hoki negara.

“Ini kerana, dengan dana yang ada, kita boleh lakukan pelbagai aktiviti untuk program pembangunan pemain pelapis dari peringkat akar umbi dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 8:48 AM