SUBAHAN   ketika sidang media pada Majlis Pemeteraian Jalinan Kerjasama antara KHM dan Q-Net Malaysia bagi 2021 hingga 2023 di Kinrara Resort hari ini. FOTO Bernama
SUBAHAN ketika sidang media pada Majlis Pemeteraian Jalinan Kerjasama antara KHM dan Q-Net Malaysia bagi 2021 hingga 2023 di Kinrara Resort hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


PROGRAM Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada minggu pertama September akan menjadi program besar paling terbaik pernah diadakan untuk sukan berkenaan.

Menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, program berkenaan akan dipertingkatkan untuk menjadi lebih baik berbanding program pembangunan sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan Datuk Dr S Shamala yang berusaha keras bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun ia sepatutnya sudah dilancarkan seawal 14 Mac lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Subahan.

Ujar Subahan, pelancaran NHDP bukannya MHC tidak mempunyai program pembangunan sebelum ini tapi apa saja bentuk program akan berkait dengan isu dana.

"Hoki memang nampak macam kurang perbelanjaan, tapi apabila membabitkan perlawanan skuad kebangsaan ia memerlukan mereka untuk terbang ke luar negara. Ia tidak sama seperti bola sepak yang dibantu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Kita tidak mendapat satu sen pun dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF), jadi sekarang Alhamdulillah kerajaan hadir memberi bantuan secara berterusan dengan wujudnya NHDP," katanya.

NHDP bakal membabitkan kerjasama di antara MHC, MSN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:25 PM