SUBAHAN menjelaskan individu yang dilantik akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan MHC. FOTO NSTP
SUBAHAN menjelaskan individu yang dilantik akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan MHC. FOTO NSTP

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) kini lebih serius untuk memastikan pasukan kebangsaan boleh mencipta kejayaan lebih gemilang di pentas antarabangsa apabila mewujudkan jawatan Pengarah Teknikal Projek Khas Sukan Asia 2026 dalam waktu terdekat ini.

Jawatan yang baharu saja diwujudkan itu berperanan menyelia skuad Projek Khas Sukan Asia 2026 Lelaki dan Wanita supaya lebih mantap dan mampu bersaing dengan pasukan gergasi lain.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, individu yang dilantik bukan hanya ditugaskan untuk memantau ketua jurulatih skuad remaja lelaki dan skuad wanita, tetapi turut bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan MHC.

"Hal ini bagi memastikan semua program pembangunan di peringkat akar umbi dapat dijalankan dengan sebaiknya dan juga bagi memastikan bakat muda yang berkebolehan untuk menyarung jersi kebangsaan tidak akan terlepas pandang.

"MHC juga memutuskan 1 September depan adalah tarikh akhir bagi individu yang menggalas tugas itu untuk memulakan tugas beliau," katanya, di sini.

Selain itu, bekas Ketua jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Arul Selvaraj dilantik sebagai ketua pembantu jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 15 Ogos ini.

Arul Selvaraj akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Roelant Oltmas serta dua penolong jurulatih sedia ada dalam skuad lelaki kebangsaan ketika ini iaitu Muhammad Amin Rahim serta Nasihin Nubli Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih penjaga gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:31 PM