Maarof (tengah) dan Wan Mohd Husni (belakang tiga kiri) bersama pemain NS Antlers. FOTO Mohd Amin Jalil.
Maarof (tengah) dan Wan Mohd Husni (belakang tiga kiri) bersama pemain NS Antlers. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan (NS) Antlers membawa masuk dua pemain baharu dalam usaha menguatkan lagi pasukan bagi merealisasikan sasaran kejuaraan pada STL Champion Cup 2021/2022 dari 20 hingga 26 Mac ini.

Kejohanan yang akan berlangsung di Iskandar Puteri Studio Johor Bahru itu bakal menampilkan lapan pasukan terbaik membabitkan enam dari Liga Perdana dan dua pasukan dari Divisen 1 iaitu johan dan naib johan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berkata dua pemain terbabit ialah tekong dari Selangor Piston, Muhammmad Haziq Hairul Nizam, 19, dan perejam dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Norhafizi Abdul Razak, 26.

"Kedua-dua pemain kebangsaan itu sebelum ini beraksi di liga divisyen dua dan tidak terbabit dalam kejohanan STL Champion Cup.

"Dengan cabaran yang bakal dihadapi lebih sengit, kami melihat kedua-dua pemain ini mampu menguatkan lagi pasukan kerana sebelum ini terdapat kelemahan di posisi tekong dan perejam.

"Kehadiran pemain berpengalaman ini sudah tentu diharap dapat memberi impak positif kepada kekuatan pasukan dalam misi kita memberikan persembahan lebih baik dan seterusnya melakar kejutan mara ke pentas final," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan bonus RM50,000 oleh pihak penaja di atas kejayaan NS Antlers meraih tempat ketiga Liga STL kali ini, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashid.

Wan Mohd Husni berkata, NS Antlers akan bertindak sebagai pasukan 'underdog' kerana tidak mahu berada dalam tekanan, apatah lagi berada dalam satu kumpulan bersama Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Justeru itu katanya, pasukan itu perlu membuat persiapan lebih rapi untuk memastikan setiap halangan dalam saingan kumpulan mampu diatasi.

Menurutnya, selain dua pemain terbabit, lima lagi yang berada dalam skuad NS Antlers ialah Mohd SyazreenQamar Salehan (ketua pasukan), Mohd Hafizul Hayazi Adnan, Zulefendi Sumari, Yus Hanif Rosli dan Mohamad Hisham Mat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:49 PM