WAN HUSNI (tengah belakang) bersama pemain NS Antlers yang menamatkan saingan di tempat ketiga Liga STL. FOTO Ihsan Pestans.
WAN HUSNI (tengah belakang) bersama pemain NS Antlers yang menamatkan saingan di tempat ketiga Liga STL. FOTO Ihsan Pestans.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), skuad Negeri Sembilan (NS) Antlers berazam untuk meneruskan pencapaian terbaik dalam STL Champion Cup 2021/2022 dari 20 hingga 26 Mac ini.

Kejohanan yang akan berlangsung di Iskandar Puteri Studio Johor Bahru itu bakal menampilkan lapan pasukan terbaik membabitkan enam dari Liga Premier dan dua pasukan dari Divisen 1 iaitu johan dan naib johan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berkata Negeri Sembilan berhasrat untuk melakar kejutan mara ke pentas final.

Menurutnya, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai dengan komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain hasil kejayaan menduduki tangga tempat ketiga Liga STL, yang berakhir, baru-baru ini.

"Saya yakin dan percaya peningkatan pencapaian pasukan dalam Liga STL kali ini akan memberi impak positif kepada usaha kita untuk meraih pencapian terbaik pada peringkat kejuaraan utama STL.

"Kita akan membuat persiapan lebih rapi dan berusaha mengatasi segala kelemahan untuk memastikan persembahan mantap dapat diperagakan pemain pada kejuaraan di Johor Bahru nanti," katanya.

Mengulas lanjut mengenai saingan Liga STL, Wan Mohd Husni berkata, pencapaian NS Antlers lebih baik berbanding pada 2020.

Tambahnya, selain menamatkan saingan di tempat ketiga, NS Antlers turut meraih anugerah Fair Play manakala apit kiri, Mohd Syazreen Qamar Salehan dinobatkan selaku pemain terbaik liga.

"Sasaran yang kita tetapkan pada saingan liga kali ini untuk berada dalam kelompok tiga terbaik tercapai berbanding pencapaian di tempat keempat pada 2020.

"Usaha menerapkan nilai kerohanian dan kekeluargaan dalam pasukan ternyata menjadi antara kunci utama kepada kejayaan yang memberangsangkan NS Anterls.

"Kita berharap momentum pencapaian membanggakan ini dapat diteruskan oleh pemain pada STL Champion Cup yang akan berlangsung di Johor Bahru, beberapa hari lagi," katanya.

Sebagai rekod, saingan Liga STL kali ini dimenangi pasukan ATM Guardian manakala KL Thunder meraih naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 5:17 PM