DATUK Mohamad Taufek Abdul Ghani (tengah) dan Wan Mohd Husni Abdullah (berdiri tiga dari kiri) bersama pemain skuad NS Antlers di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
DATUK Mohamad Taufek Abdul Ghani (tengah) dan Wan Mohd Husni Abdullah (berdiri tiga dari kiri) bersama pemain skuad NS Antlers di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan (NS) Antlers menjanjikan saingan lebih sengit pada Liga Sepak Takraw (STL) edisi tahun ini, yang akan berlangsung di Kuala Kangsar, Perak mulai 26 Mei hingga 5 Ogos ini.

Meletakkan sasaran kejuaraan, skuad berkenaan membawa masuk dua pemain kebangsaan yang beraksi pada Sukan Sea di Kemboja baru-barui ini iaitu Mohd Hafizul Hayazi Adnan dan Mohd Haziq Hairul Nizam.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berkata, persiapan pasukan NS Antlers kali ini dibuat lebih baik walaupun mempertaruhkan sepenuhnya tenaga tempatan.

"Sebahagian besar pemain musim lalu dikekalkan namun kali ini kita diperkuatkan dengan dua pemain kebangsaan yang beraksi di Sukan Sea di Kemboja baru-baru ini iaitu Mohd Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Mohd Haziq Hairul Nizam (tekong).

"Hampir semua pemain yang kita tampilkan ini memiliki pengalaman luas di pentas tempatan dan antarabangsa.

"Jika sebelum ini, kami melihat terdapat kelemahan di posisi apit kanan dan tekong tapi dengan kemasukan Hafizul Hayazi dan Haziq Hairul, mampu menguatkan lagi kekuatan pasukan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain NS Antlers dan penyerahan rakan penaja di Klana Resort di sini, petang ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Wan Mohd Husni berkata, ketika ini NS Antlers yang dibimbing Shahibol Mazlan berada pada tahap prestasi terbaik untuk menggalas cabaran liga berprestij itu.

"Saya yakin dan percaya, melalui kewibawaan mereka yang memiliki pengalaman luas akan berupaya membantu kita untuk mencipta kejayaan lebih baik kali ini berbanding menamatkan saingan di tempat ketiga musim lalu," katanya.

Katanya, selain dua pemain kebangsaan terbabit, enam lagi lagi yang berada dalam skuad NS Antlers ialah Mohd Syazreen Qamar Salehan (ketua pasukan), Mohd Zulefendi Sumari, Yus Hanif Rosli, Mohamad Hisham Mat, Mohd Muslim Ramli dan Mohd Eqbal Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 9:28 PM