ANTARA barisan pemain yang membawa cabaran Negeri Sembilan pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022. FOTO Ihsan Pestans
ANTARA barisan pemain yang membawa cabaran Negeri Sembilan pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022. FOTO Ihsan Pestans
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) mahu menjadikan Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 yang berlangsung di Bukit Serindit Melaka mulai hari ini, sebagai medan persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) bulan depan.

Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, kejohanan berprestij itu akan dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi pemain sebelum mereka menggalas cabaran pasukan negeri ke temasya Sukma edisi ke-20 di Kuala Lumpur, dari 16 hingga 24 September ini.

Katanya, Negeri Sembilan mempertaruhkan pasukan campuran membabitkan pemain senior dan junior termasuk empat pemain Sukma untuk menggalas cabaran pada kejohanan julung kali diadakan itu.

"Empat pemain Sukma yang dipertaruhkan dalam pasukan Negeri Sembilan ialah Muhammad Zul Aqil Ikram Mohamad Sah, Muhammad Azizi Rosdi, Muhammad Harith Aiman Hanizam dan Muhammad Ariq Ikmal Hanizam.

"Kami berharap mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan bertaraf kebangsaan ini kerana ia akan membantu memberikan keyakinan pada diri pemain sebelum mereka beraksi di Sukma nanti," katanya di sini, hari ini.

Menurut Wan Mohd Husni, Pestans sudah menetapkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukma tahun ini selepas kali terakhir berjaya memenangi pingat berharga itu pada 1996 menerusi acara antara regu.

"Saya berharap menerusi penyertaan dalam kejohanan sepak takraw di Melaka ini, akan memberi impak positif dari segi prestasi dan keyakinan pemain untuk lebih menyerlah di Sukma nanti," katanya.

Beliau menyambut baik penganjuran kejohanan berkenaan kerana diadakan kurang sebulan sebelum Sukma 2022 berlangsung.

Katanya, pihaknya yakin kejohanan berprestij itu bukan sahaja dapat membantu setiap pasukan menghadapi Sukma tetapi juga dapat memperkasakan lagi sukan sepak takraw tempatan.

"Negeri Sembilan sudah menjanjikan cabaran sengit dalam kejohanan ini dan saya yakin dan percaya adunan pemain senior dan junior ini mampu memberikan aksi permainan terbaik dalam dua kategori disertai iaitu antara regu dan beregu," katanya.

Difahamkan, sebanyak 17 pasukan bersaing dalam kejohanan berkenaan membabitkan ahli gabungan negeri selain Singapura.

Kejohanan membabitkan acara antara regu dan beregu itu menawarkan hadiah RM10,000 bagi juara regu dan RM8,000 (beregu), sekali gus menjanjikan saingan sengit setiap pasukan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:35 PM