ZII Jia melakar sejarah muncul juara Seluruh England. FOTO FB Yonex All England
ZII Jia melakar sejarah muncul juara Seluruh England. FOTO FB Yonex All England
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan menyenaraikan juara Seluruh England, Lee Zii Jia untuk menghadapi temasya Sukan Sea Vietnam tahun ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan tugas untuk mengibarkan cabaran negara ke temasya dwi tahunan itu akan digalas oleh barisan pemain remaja dan skuad pelapis negara.

Keputusan itu diambil selepas sukan badminton bakal menempuh tahun yang padat dengan empat kejohanan utama akan menjadi tumpuan.

Ia membabitkan, Sukan Olimpik, Piala Thomas/Uber, Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia yang mana Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-10 dunia dan juga beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akan memberi tumpuan kepada empat kejohanan berkenaan.

Kata Kenny, pemilihan skuad pelapis dan remaja negara mampu memberikan motivasi positif kepada pemain muda kerana umum mengetahui bahawa jaguh dunia kebanyakan adalah dari Asia Tenggara.

"Keputusan adalah penting kepada kami tapi pada masa yang sama penyertaan pemain muda dan pelapis ini akan memberi satu pendedahan terbaik dan memberi pengalaman kepada mereka.

"Tapi tidak bermakna kita bersedia untuk hilang tiga emas kerana keputusan adalah penting kepada kami. Bercakap mengenai pingat kami harap pemain akan mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan Sea 2021 di Vietnam di Wisma MOM di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kenny memaklumkan, beliau tidak pasti sama ada negara lain akan menggunakan pendekatan yang sama dengan Malaysia.

Dua tahun lalu di Filipina, skuad badminton negara muncul juara keseluruhan dengan kejayaan merangkul tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Emas negara di sumbangkan Zii Jia, S Kisona dalam acara perseorangan dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi acara beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 1:20 PM