AZMI percaya angka itu bakal berubah dengan kontinjen negara mampu untuk meraih lebih daripada sasaran yang diletakkan. FOTO OWEE AH CHUN
AZMI percaya angka itu bakal berubah dengan kontinjen negara mampu untuk meraih lebih daripada sasaran yang diletakkan. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Sea Hanoi, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad menyifatkan sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada temasya edisi ke-31 kali ini iaitu 31 emas adalah realistik.

Malah beliau percaya angka itu bakal berubah dengan kontinjen negara mampu untuk meraih lebih daripada sasaran yang diletakkan itu.

Bercakap pada sidang media Mesyuarat Pengurus Pasukan ke temasya dwi tahunan itu, Azmi berkata persiapan skuad negara kini berjalan lancar dan semua pengurus pasukan sudah mengetahui langkah dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Saya tidak mahu janjikan bulan dan bintang. Tapi saya percaya kemampuan atlet negara.

"Saya sahut cabaran 31 emas itu. Ia bukan tekanan buat saya ketika musim pandemik ini. Saya percaya kita mungkin dapat lebih lagi," katanya.

Sementara itu Azmi berkata, sasaran emas negara mungkin akan berubah apabila berlangsung bengkel antara persatuan sukan dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13 April ini.

Terdahulu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menetapkan sasaran awal Malaysia adalah memperoleh 31 pingat emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa pada Sukan Sea yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Sasaran awal ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan itu berdasarkan perkembangan dan perbandingan prestasi semasa atlet negara.

Bagaimanapun sasaran akhir kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 25 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:19 PM