SETIAUSAHA Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad.
SETIAUSAHA Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) memberi amaran keras kepada barisan atletnya untuk memenuhi piawaian ditetapkan oleh persatuan itu sekiranya mahu terus bergelar atlet negara.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan seramai lima atlet sudah diberikan surat amaran untuk mempertingkatkan prestasi sekiranya tidak mahu disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Beliau berkata, kelima-lima atlet berkenaan diberi peluang sehingga Disember ini untuk membuktikan mereka masih layak berada dalam kem negara dengan diberi peluang untuk menyertai beberapa pertandingan lagi.

"Saya sudahpun mengeluarkan surat amaran kepada mereka yang terdiri dari tiga lelaki dan dua wanita. Mereka ini sebelum ini pernah menyumbangkan pingat kepada negara tetapi dari aspek mental dan persediaan tidak layak untuk berada dalam program Makaf.

"Amaran sudah diberikan tapi mereka masih ada peluang untuk menyertai dua atau tiga lagi pertandingan tahun ini. Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada semua ahli jawatankuasa semasa mesyuarat exco yang lalu sebab saya memandang serius pengurusan Makaf dan perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada MSN (Majlis Sukan Negara)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azmi turut memaklumkan pihak pengurusan bersetuju untuk menaikkan pangkat semua pemenang pingat di Sukan Sea Hanoi Vietnam pada Mei lalu ke Program Podium MSN membabitkan empat pemenang pingat emas dan enam gangsa. Katanya, ia bertujuan untuk memastikan skuad karate negara berada di landasan terbaik sebagai persediaan ke Sukan Sea Kemboja dan juga Sukan Asia Hangzhou, China tahun depan.

Dengan perkembangan itu Makaf berharap barisan atletnya dapat memenangi sekurang-kurangnya satu emas di Sukan Asia nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 1:09 PM