SKUAD Red Star Belgrade muncul juara  SuperLiga. FOTO Agensi
SKUAD Red Star Belgrade muncul juara SuperLiga. FOTO Agensi
Agensi

LIMA pemain Red Star Belgrade didapati positif koronavirus, menurut pengesahan dari juara Serbia itu.

Kesemua mereka Marko Gobeljic, Njegos Petrovic, Dusan Jovancic, Marko Konatar dan Branko Jovicic dijangkiti Covid-19.

Gobeljic, Petrovic, Jovancic dan Konatar mengalami gejala sebelum final berlangsung pada Sabtu lalu dan tidak menyertai perlawanan sebagai langkah berjaga-jaga,

Keputusan saringan kesihatan diketahui selepas Red Star kendalian Dejan Stankovic meraikan gelaran SuperLiga ketiga berturut-turut di hadapan penyokong sendiri di Belgrade dengan menewaskan Proleter Novi Sad 2-1.

Red Star turut beraksi di hadapan 25,000 penonton pada separuh akhir Piala Serbia menentang musuh ketat, Partizan yang dimenangi mereka 1-0 pada 10 Jun lalu selepas perintah berkurung dilonggarkan di negara terbabit.

"Semua pemain terbabit dalam keadaan baik dan mereka kini dikuarantinkan selain perlu menjalani pemeriksaan di bawah seliaan pasukan perubatan kelab," kata Red Star dalam satu kenyataan hari ini.

"Keadaan pemain dipantau lebih kerap dan ujian terbaharu akan diadakan sebelum memulakan persiapan menghadapi musim depan.

Menurut Red Star: "Kami juga mengesahkan semua pemain lain, pengurusan dan petugas yang ada kontak terus dengan skuad utama menerima keputusan negatif. Red Star mengambil langkah pencegahan dan akan terus melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 2:22 PM