VLADAN MILOJEVIC
VLADAN MILOJEVIC
AFP

BELGRADE: Red Star Belgrade, kelab yang dipalit skandal mengatur perlawanan dalam kempen Liga Juara-Juara bertindak ‘mengunci mulut’ di Stadium Rajko Mitic menjelang aksi dengan Liverpool, awal pagi Khamis ini.

Kunjungan ke Anfield seharusnya satu keraian buat pasukan itu yang meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Eropah 27 tahun lalu - trofi Eropah pertama dan terakhir kelab dari bekas negara Yugoslavia itu.

Begitupun, pertemuan itu dibayangi rasa sangsi berikutan pengumuman dibuat penyiasat Perancis membabitkan tuduhan mengatur perlawanan ketika kelab itu tewas 1-6 kepada Paris Saint-Germain juga dalam Liga Juara-Juara, 3 Oktober lalu.

Siasatan itu dilancarkan selepas akhbar Perancis, L'Equipe mendakwa pegawai senior dalam pasukan Red Star membuat taruhan sejumlah 5 juta euro (RM23.85 juta) supaya skuad itu tewas dengan margin lima gol kepada juara Ligue 1 itu.

Dakwaan itu mencetus rasa kurang senang rakyat Serbia termasuk Ketua Editor Sukan akhbar Sportski Zurnal, Predrag Saric.

“Serbia adalah pesalah yang ideal. Tiada sesiapa membaca siasatan sebenarnya sudah dimulakan, tetapi mereka sudah mula mengutuk,” kata Saric kepada stesen televisyen Serbia, RTS.

Dia juga terkejut dengan berkata “di era teknologi moden, segala-galanya masih belum jelas.”

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, yang juga penyokong Red Star berkata beliau “amat meragui’ tuduhan berkenaan.

“Saya fikir perkara paling besar yang mereka cakapkan mengenainya adalah tidak benar,” katanya kepada wartawan sambil menegaskan akan menilai segala kemungkinan jika ada seseorang atau apa saja cuba untuk merosakkan nama kelab dan negara.

Selepas mengeluarkan dua kenyataan yang menggesa siasatan pantas dan mengancam untuk melancarkan tindakan undang-undang terhadap L'Equipe kerana fitnah, kelab itu sehingga kini ‘berdiam diri.’

Presiden Red Star yang juga legenda bola sepak Serbia, Dragan Dzajic tidak lagi menjawab panggilan telefon dengan Pengarah Kelab, Zvezdan Terzic berkata kelab itu memutuskan untuk tidak perlu mengeluarkan sebarang komen selepas dua kenyataan yang dihantar.

“Saya tidak akan memberi komen terhadap laporan media, saya boleh berkata ia tidak mengganggu pasukan,” kata jurulatih Red Star, Vladan Milojevic. “Pemain-pemain dan saya fokus terhadap kempen ketika ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 2:41 PM