Reuters

Liverpool, England: Liverpool sudah menjimatkan berjuta-juta dengan pembelian pertahanan Joel Matip secara perpindahan percuma dari kelab Bundesliga Jerman Schalke 04, menurut pengurus Juergen Klopp.

Pemain kebangsaan Cameroon kelahiran Jerman itu akan berpindah ke Anfield apabila kontraknya tamat hujung musim ini dan Klopp berkata, Schalke mungkin akan memberikan tanda harga terhadap pemain berusia 24 tahun itu sekiranya dia masih mempunyai kontrak.

“Dia satu pilihan mudah,” kata Klopp.

“Saya tahu di England amat sukar untuk membeli pemain tanpa melunaskan bayaran perpindahan.

“Jika anda tanya di Jerman apa yang mungkin dibayar kelab lain sekiranya dia masih mempunyai kontrak, anda boleh memilih apa-apa nombor.

“Anda tidak boleh beraksi di kelab seperti Schalke selama enam tahun tanpa sebarang kualiti. Dia mungkin boleh menjadi antara pertahanan tengah terbaik dalam Liga Perdana.”

Pengurus itu turut mengesahkan pemburuan Liverpool terhadap Matip adalah inisiatifnya sendiri dan tidak tertakluk kepada jawatankuasa perpindahan kelab itu.

Matip adalah pembelian kedua Klopp di Liverpool selepas pemain tengah Serbia Marko Grujic bersetuju untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Red Star Belgrade hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:14 AM