VUKANOVIC (kiri) menjaringkan gol pertama Red Star ketika seri 1-1 dengan Young Boys di Belgrade. — FOTO EPA
VUKANOVIC (kiri) menjaringkan gol pertama Red Star ketika seri 1-1 dengan Young Boys di Belgrade. — FOTO EPA
Reuters

BEKAS juara Piala Eropah, Red Star Belgrade layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut selepas seri 1-1 di laman sendiri dengan kelab Switzerland, Young Boys pada aksi playoff yang membolehkan mereka mara menerusi peraturan gol tempat lawan, awal pagi tadi.

Mereka disertai juara Croatia, Dinamo Zagreb yang memastikan tempat selepas seri 1-1 di Rosenborg susulan kemenangan 2-0 pada aksi pertama. Olympiakos Piraeus pula menang 2-1 di Krasnodar untuk melengkapkan agregat 6-1 ke atas kelab Russia itu.

“Saya amat bangga dengan pemain saya dan apa yang kami raih hari ini satu kejayaan menakjubkan,” kata jurulatih Red Star, Vladan Milojevic pada sidang akhbar.

“Ia sukar. Saya memberitahu pemain sebelum perlawanan apa yang kami harapkan supaya mereka memberikan yang terbaik. Kini kami tidak sabar untuk beraksi musim kedua dalam kalangan kelab elit Eropah.

PEMAIN Red Star, Tomane (dua kiri), Jose Canas (tengah) dan Mateo Garcia (dua kanan) meraikan kejayaan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. — FOTO EPA
PEMAIN Red Star, Tomane (dua kiri), Jose Canas (tengah) dan Mateo Garcia (dua kanan) meraikan kejayaan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. — FOTO EPA

“Kami satu keluarga besar yang bahagia di Red Star dan masih memasang impian. Kami membanggakan Serbia.”

Pertahanan kiri Milan Rodic terlepas peluang terbaik Red Star pada babak pertama apabila tandukannya melepasi palang sebelum pemain tengah Michel Aebischer dua kali hampir meletakkan Young Boys di depan.

Penjaga gol Red Star, Milan Borjan hampir tertampan bola hantaran silang ke dalam golnya sendiri dan kemudian menyelamatkan percubaan Roger Assale sebelum tuan rumah memecah kebuntuan menerusi gerakan tersusun pertama mereka.

Perancang utama Marko Marin mengumpan cantik kepada Rodic dan pertahanan kiri itu melarikan bola di bahagian sayap sebelum melakukan hantaran silang yang ditanduk masuk pemain sayap Aleksa Vukanovic.

AKINTOLA (tengah) menjaringkan gol pertama Rosenborg di Trondheim, Norway awal pagi tadi. — FOTO AFP
AKINTOLA (tengah) menjaringkan gol pertama Rosenborg di Trondheim, Norway awal pagi tadi. — FOTO AFP

Juara Serbia itu berdepan asakan bertali arus pada 10 minit terakhir dan pemain gantian El Fardou Ben tertampan masuk sepakan Saidy Janko dari 18 meter ke dalam golnya sendiri.

Dinamo ketinggalan menerusi gol awal David Akintola sebelum Amer Gojak menyamakan kedudukan pada minit ke-71 untuk menyukarkan sebarang kebangkitan kelab Norway, Rosenborg.

Olympiakos pula tiba di Krasnodar dengan kelabihan 4-0 dan sekalipun kelab Russia itu mencetus sedikit harapan menerusi gol Daniil Utkin pada minit ke-10, Youssef El Aarabi meledak dua gol buat pelawat untuk menempah tiket ke peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 11:02 AM