NUR Aiman cipta sejarah LTdL.
NUR Aiman cipta sejarah LTdL.
Malik Muhamad


PELUMBA muda kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, 23 meluahkan nada gembira dan syukur selepas rayuannya berkaitan ganjaran kejayaan merangkul jersi merah dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) mendapat reaksi positif daripada kerajaan negeri.

Malah pelumba berasal dari Setiu itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang bakal mempertimbangkan bentuk ganjaran kepada atlet berbakat besar itu.

"Tiada lafaz lain kecuali ucapan terima kasih dan syukur selepas mendapat berita kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran bakal saya perolehi.

"Kedua ibu bapa saya juga turut a gembira dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kecaknaan itu walaupun mungkin mengambil sedikit masa.

"Berita ini juga sudah tentu bakal menaikkan lagi semangat saya untuk merangkul kejayaan lebih bermakna termasuk mengintai jersi kuning pula yang belum pernah dirangkul mana-mana pelumba dari Malaysia. Lagipun perjalanan karier saya masih panjang," ujar Aiman.

Februari lalu anak peniaga mi kawah di pasar malam sekitar Setiu itu menggegarkan pentas LTdL apabila menjadi pelumba Malaysia pertama merangkul jersi merah selaku raja bukit selepas negara menunggu sejak 24 tahun lalu iaitu sejak edisi pertama pada 1996.

Semalam Wan Sukairi menyatakan kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan kepada pelumba pasukan Sapura Cycling Team (TSC) atas kejayaan mengharumkan nama negeri dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 11:42 PM