AIMAN (tengah) diraikan dalam satu majlis di Icon Cafe Pasir Panjang, Kuala Terengganu semalam. FOTO Malik Muhamad
AIMAN (tengah) diraikan dalam satu majlis di Icon Cafe Pasir Panjang, Kuala Terengganu semalam. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


SELEPAS menamatkan penantian negara selama 24 tahun dengan meraih gelaran Raja Bukit (jersi merah) sejak edisi pertama 1996 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir minggu lalu, pelumba sensasi Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff mengidam untuk menakluk dunia.

Anak peniaga pasar malam berasal dari Kampung Putera Setiu itu impikan pentas lebih besar termasuk mahu beraksi dalam kejohanan Sukan Olimpik suatu hari nanti seperti idolanya, Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

“Selepas kejayaan membanggakan di LTdL, saya kini berazam untuk meraih jersi kuning dan menang pada peringkat perlumbaan pada edisi LTdL akan datang.

“Selain itu saya berazam untuk beraksi pada pentas Sukan Olimpik dan kejohanan yang lebih besar lagi seperti pro tour di Eropah dengan sasaran untuk meraih jersi dalam perlumbaan tertinggi di dunia.

“Pencapaian tertinggi lain setakat ini selain LTdL ialah ketika Tour of Peninsular tahun lalu apabila merangkul jersi merah, tapi saya dapat sehari saja memakai jersi itu kerana gagal pada peringkat perlumbaan seterusnya.

“Tapi kali ini di LTdL dapat hingga berakhir kejohanan,” kata anak sulung daripada lima beradik itu yang mula berjinak dengan sukan basikal sejak dibangku sekolah.

Bekas pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG) itu ditemui ketika majlis meraikan kejayaan anak negeri di LTdL bertempat di Icon Cafe Pasir Panjang semalam.

Mengulas lanjut, Aiman berkata, dia mula serius dengan sukan berbasikal selepas menyertai perlumbaan basikal Fixie ketika berumur 13 tahun apabila bapanya membelikannya basikal berharga RM900.

“Saya begitu terharu dengan pengorbanan ibu bapa yang sanggup membelikan basikal itu kerana keluarga kami susah dan serba kekurangan.

“Berkat doa ibu bapa selain bertekad untuk membalas pengorbanan mereka, saya meraih tempat kedua dalam kejohanan pertama termasuk berjaya menewaskan pelumba pelapis Terengganu sehingga menarik minat jurulatih, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang kemudian menawarkan tempat untuk mewakili negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 7:49 PM