ANUAR Manan pernah menerima ganjaran daripada kerajaan negeri. FOTO NSTP
ANUAR Manan pernah menerima ganjaran daripada kerajaan negeri. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BEKAS raja pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan mengakui keprihatinan kerajaan memberikan ganjaran kepada atlet negeri yang berjaya menaikkan nama negara dalam pelbagai jenis sukan adalah pencetus utama kebangkitan mereka untuk meraih kejayaan luar biasa.

Anuar berkata, buktinya dalam saingan LTdL apabila setakat ini tiga atlet kelahiran Terengganu sudah berjaya mencipta sejarah luar biasa dengan merangkul tiga gelaran utama.

"Selain saya meraih jersi hijau, dua lagi pelumba kelahiran negeri Terengganu iaitu Muhammad Adiq Husainie Othman berjaya merangkul jersi putih selaku pelumba terbaik Asia LTdL 2016 dan terbaharu pelumba muda berusia 23 tahun, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff meraih kejayaan selaku raja bukit dalam saingan LTdL 2020.

"Selain usaha keras pelumba itu sendiri, dorongan daripada semua pihak serta ganjaran daripada kerajaan negeri kepada mereka yang mencipta kejayaan luar biasa mampu menyuntik semangat atlet untuk melakar kejayaan lebih cemerlang.

"Saya percaya dan yakin dengan keprihatinan kerajaan negeri yang memberi ganjaran kepada atlet, akan lahir lebih ramai lagi atlet dalam pelbagai jenis sukan bakal mencipta nama dan sejarah negeri dan negara.

"Selain itu, ganjaran ini juga mampu menaikkan semangat ibu bapa untuk memberi perhatian dan galakan kepada anak mereka supaya aktif dan lebih serius dalam bidang sukan yang diceburi," kata Anuar.

Sabtu lalu kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan kepada Muhammad Nur Aiman yang berjaya merangkul raja bukit dalam LTdL 2020 pada Februari lalu ketika mewakili pasukan Sapura Cycling Team (TSC).

Sebelum ini Anuar dan Muhamad Adiq Husainie menerima 'durian runtuh' berupa satu lot tanah dan wang tunai RM10,000 atas kejayaan meraih jersi dalam perlumbaan berprestij negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 5:19 PM