AIMAN ketika beraksi di LTdL, Februari lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
AIMAN ketika beraksi di LTdL, Februari lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Malik Muhamad


SELEPAS hampir empat bulan merangkul gelaran sebagai raja bukit pertama Malaysia dalam sejarah perlumbaan berbasikal paling berprestij negara, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff tampil meluahkan rasa terkilan dan sedih.

Anak peniaga pasar malam itu meluahkan rasa kecewa selepas sehingga hari ini kudratnya dalam kejohanan LTdL edisi ke-25 itu seolah-olah tidak dihargai dan dianaktirikan kerana belum mendapat ganjaran daripada kerajaan negeri ataupun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menurut pelumba Sapura Cycling Team (TSC) kelahiran Kampung Bukit Putera Chalok, Setiu itu, luahannya bukan untuk menagih simpati, sebaliknya mengharapkan pengorbanan dan titik peluhnya mengharumkan nama negeri dan negara dihargai sama dengan pelumba lain kelahiran Terengganu seperti raja pecut LTdL 2010, Anuar Manan dan Olimpian negara, Mohd Azizulhasni Awang.

"Saya terkilan dan begitu sedih apabila ada yang bertanya mengenai insentif yang saya terima, sejujurnya sehingga sekarang saya tidak mendapat apa-apa insentif daripada kerajaan negeri selepas kejayaan mencipta sejarah negara dan Terengganu dalam LTdL

"Lebih menyedihkan selepas hampir empat bulan berlalu, bukan hanya insentif malah panggilan telefon pun saya tidak terima berhubung perkara itu. Ini yang membuatkan saya terasa, lagipun saya bukan hadir daripada keluarga yang senang, saya anak kampung.

"Pengorbanan saya dengan mencipta sejarah sebagai anak Malaysia dan Terengganu pertama merangkul gelaran jersi merah selepas 25 tahun LTdL berlangsung bagaikan dilupakan atau dipandang sebelah mata.

"Seingat saya ketika Anuar pernah meraih gelaran raja pecut dalam LTdL 2010 ketika mewakili kelab dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia, dia memperolehi sebidang tanah selain wang tunai RM10,000, masa itu usia saya baharu 13 tahun.

"Jadi saya bimbang jika giliran saya kerajaan negeri terlepas pandang untuk memberikan saguhati sebagai pembakar semangat saya untuk terus mencipta kejayaan.

Lagipun pada 2017 saya pernah menyarung jersi pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan jika dapat tawaran lagi mungkin saya akan kembali mewarnai pasukan itu.

"Justeru saya mengharapkan kerajaan negeri dapat menilai dan menghargai kejayaan saya ini sebagai dorongan untuk terus meraih kejayaan bukan hanya kepada saya malah juga atlet lain," katanya.

Pada Februari lalu, anak sulung daripada lima beradik itu mencetus sensasi apabila muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar raja bukit dalam pentas LTdL selepas negara menanti sejak 24 tahun lalu bermula edisi sulung pada 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 8:23 PM