MUHAMMAD Nur Aiman  menerima sumbangan daripada Wan Sukairi. FOTO MSNT
MUHAMMAD Nur Aiman menerima sumbangan daripada Wan Sukairi. FOTO MSNT
Malik Muhamad


SELEPAS empat bulan menanti, akhirnya pelumba sensasi negara, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff menerima 'durian runtuh' daripada kerajaan negeri berupa hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 semalam.

Turut menghulurkan sumbangan kepada raja bukit selaku pemenang jersi merah pertama Malaysia dalam sejarah perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Februari lalu ialah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sebanyak RM2100.

"Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan negeri dan MSNT yang bermurah hati sudi menghulurkan bantuan kepada saya selepas kejayaan di pentas LTdL Februari lalu.

"Saya tetap bersyukur kerana kejayaan saya ini mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri dan MSNT. Insentif ini bakal menyuntik semangat saya untuk berusaha lebih gigih lagi dalam memburu kejayaaan lebih bermakna bukan sahaja dalam LTdL tapi dalam kejohanan lain dalam dan luar negara.

"Kebetulan pula saya mula kembali ke kem latihan di Kuala Lumpur pada hari ini, jadi sudah tentu semangat saya luar biasa apatah lagi tiga bulan berlatih sendiri di kampung bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan dengan harapan wabak itu berakhir dengan segera," ujar anak sulung peniaga pasar malam di Setiu. Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkunjung ke rumah keluarga pelumba muda berusia 23 tahun itu di Setiu untuk menyampaikan sumbangan berkenaan.

Sementara itu Wan Sukairi mencabar pelumba itu supaya mampu melangkah lebih jauh lagi dalam kariernya memandangkan usianya yang masih muda.

"Teruskan kecemerlangan dalam kariernya dan cuba melangkah sejauh yang dapat. Lagipun pelumba itu masih muda dan mempunyai peluang yang cerah untuk meraih gelaran lebih hebat," ujar Wan Sukairi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:24 PM