AIMAN ketika bersama TSC tahun lalu.
AIMAN ketika bersama TSC tahun lalu.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Demi keluarga, Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Nur Aiman Mohd Zariff terpaksa menolak tawaran untuk kekal bersama Team Sapura Cycling (TSC) musim ini.

Sebaliknya pelumba muda berusia 24 tahun itu kembali memperkuatkan pasukan bertaraf benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) tahun ini.

Pelumba kelahiran Setiu itu berkata, selama tiga musim mewakili TSC sejak 2018 membuatkan dia terpaksa berjauhan dengan keluarganya, namun banyak kejayaan membanggakan bersama pasukan itu.

Anak sulung daripada lima beradik itu juga akui banyak belajar daripada barisan kejurulatihan TSC sepanjang dia menyertai pasukan itu termasuk mendapat perhatian daripada pasukan Pro Benua, Androni Giacattoli- Sidermec (ANS) dari Itali.

"Hasrat balik ke negeri kelahiran tiada faktor lain kecuali untuk lebih dekat dengan keluarga kerana kesihatan orang tua yang memerlukan perhatian terutama bapa. Lagipun saya anak sulung dan kami bukan daripada keluarga yang senang. Pada masa sama juga TSC memahami situasi ini dan TSG pula sudi menerima saya.

"Jadi pengalaman bersama TSC akan membantu saya menjadi pelumba lebih baik untuk TSG apatah lagi TSG mempunyai ramai pelumba terbaik negara," kata Aiman ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut, Aiman yang juga pelumba paling muda dalam TSG berkata, fokusnya tahun ini lebih terarah kepada misi untuk meningkatkan prestasi bersama TSG selain meneruskan kejayaan yang sudah diraih sebelum ini.

"Saya belum merasai lagi Jersi Kuning, jadi mungkin selepas ini jersi itu bakal menjadi buruan saya dalam perlumbaan LTdL bersama TSG," katanya.

Februari tahun lalu, Aiman muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar Raja Bukit dalam pentas LTdL selepas negara menanti selama 24 tahun bermula edisi pertama 1996.

Pada Oktober 2019, pelumba itu pernah merasai gelaran Jersi Merah dalam saingan edisi pertama Tour of Peninsular.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:40 PM