Mohd Asmirul Anuar Aris. FOTO File NSTP
Mohd Asmirul Anuar Aris. FOTO File NSTP
Izzali Ismail


BEKAS Exco Belia dan Sukan Kedah, Asmirul Anuar Aris mengesahkan beliau sudah meletak jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) minggu ini, susulan peralihan kerajaan negeri.

Beliau yang dihubungi berkata, peletakan jawatan itu adalah atas dasar prinsip apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden KFA, tidak lagi dapat membentuk kerajaan negeri.

"Saya dah letak jawatan minggu ini atas prinsip apabila kerajaan terdahulu bubar."

"Perletakan jawatan ini kalau tidak melalui mesyuarat agung atau mesyuarat apa-apa pun, saya tetap menulis surat secara hitam putih untuk meletak jawatan."

"Surat peletakan jawatan ini ditulis kepada pengurusan KFA dan salinan kepada Timbalan Presiden KFA dan kemudian surat itu akan dipanjangkan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Berkaitan isu RM1.5 juta tunggakan gaji yang didakwa telah diluluskan sebelum ini, Asmirul meminta pihak kerajaan negeri yang baharu agar segera merujuk dan menyemak kepada pihak KFA berkaitan isu berkenaan.

"Saya berharap Menteri Besar baharu ini dapat merujuk terus kepada pihak KFA dan melihat surat berkaitan kelulusan oleh menteri besar yang terdahulu.

"Saya yang tulis surat kepada bekas Menteri Besar dan beliau pula tulis surat kepada Pejabat Kewangan Negeri dan salinan berkenaan ada pada pihak KFA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:06 PM