MUHAMMAD Sanusi (tengah) dijangka dilantik sebagai Presiden KFA yang baharu. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi (tengah) dijangka dilantik sebagai Presiden KFA yang baharu. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) baharu selepas tiada pencalonan lain diterima KFA setakat ini.

Kongres Luar Biasa (EGM) KFA yang dijadual berlangsung esok, turut menyaksikan hanya pemain legenda skuad Hijau Kuning, Muhammad Radhi Mat Din dicalonkan sebagai Naib Presiden.

Sumber memaklumkan, tiada pertandingan dijangka berlaku bagi merebut kedua-dua jawatan berkenaan berikutan hanya nama Muhammad Sanusi dan Muhammad Radhi dicalonkan sehingga hari ini.

Jelasnya, pada awalnya terdapat empat calon disenaraikan bagi pemilihan jawatan Naib Presiden, namun dua daripada individu berkenaan menarik diri dan seorang lagi calon turut berbuat demikian pada saat akhir.

Selain itu, jawatan Setiausaha Kehormat KFA juga bakal ditentukan selepas pemilihan esok, berikutan ia adalah jawatan lantikan yang ditentukan Presiden sendiri.

KFA melalui 36 ahli gabungan perlu melantik Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Kehormat baharu susulan peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Naib Presiden, Anas Hafiz Mustaffa dan bekas Setiausaha Kehormat, Asmirul Anuar Aris.

Mereka yang bakal dilantik akan menggalas tanggungjawab mengemudi hala tuju persatuan yang ditubuhkan sejak 1924 serta membawa harapan seluruh penyokong tegar skuad Lang Merah.

Kedah masih lagi bergelut bagi menyelesaikan beberapa isu termasuk berkaitan gaji pemain dan perancangan seterusnya bagi memajukan bola sepak negeri.

Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden KFA dipegang Datuk Abdul Rahman Abdullah, manakala dua lagi jawatan Naib Presiden digalas Khamal Idris Ali dan Yusuri Yussof yang menang pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA 2018-2022.

Mukhriz, Anas dan Asmirul yang juga bekas EXCO Belia dan Sukan negeri, mengumumkan peletakan jawatan berikutan berlakunya peralihan kepimpinan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 1:46 PM