RADHI calon popular.
RADHI calon popular.
Izzali Ismail

PELETAKAN jawatan Asmirul Anuar Aris sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) minggu lalu mencetuskan spekulasi dalam kalangan pemerhati bola sepak negeri itu.

Menurut tradisi pelantikan dalam KFA, calon bagi jawatan berkenaan lazimnya diisi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah sejak beberapa tahun lalu.

Namun dari segi perlembagaan KFA, presiden yang akan dipilih ahli gabungan selepas ini memiliki kuasa melantik mana-mana tokoh selaku Setiausaha Kehormat KFA yang baharu.

Jika dilihat pada calon, Kedah ternyata tidak ketandusan tokoh dan antara calon popular dikenal pasti ialah bekas pemain Kedah, Muhammad Radhi Mat Din yang memiliki pengaruh kuat dalam arena bola sepak Kedah.

Beliau beraksi bersama skuad kebangsaan antara 1989 hingga 1993 selain menjadi penolong jurulatih Kedah yang menjulang tiga piala ketika dibimbing jurulatih Azraai Khor Abdullah pada 2007 dan 2008.

Selain beliau, seorang lagi tokoh dilihat berkaliber ialah bekas Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar yang pernah memegang jawatan berkenaan selama lima tahun sejak Ogos 2013.

Pengalaman luas Aminuddin menjadikan beliau juga calon yang sesuai untuk jawatan itu tambahan pula dengan kedudukannya sebagai ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:48 PM