PEMAIN sayap TFC II, Dhiyaulrahman harap FAM fikir semula untuk batal Piala Cabaran musim ini. FOTO Ihsan DHIYAULRAHMAN MOHD HASRY
PEMAIN sayap TFC II, Dhiyaulrahman harap FAM fikir semula untuk batal Piala Cabaran musim ini. FOTO Ihsan DHIYAULRAHMAN MOHD HASRY
Malik Muhamad


USAH batal sebaiknya perlu ubah format pertandingan Piala Cabaran. Demikian pandangan daripada pemain Terengganu FC II (TFC II), Dhiyaulrahman Mohd Hasry atau lebih mesra dipanggil John.

Pemain kacukan Malaysia-Indonesia kerana bapanya berasal dari negara skuad Garuda itu berkata demikian bagi memastikan Piala Cabaran yang bakal memasuki musim ketiga pada tahun ini tidak menjadi 'korban' susulan negara berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

Pemain sayap kiri yang menyarung jersi Pulau Pinang musim lalu berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memikirkan semula keputusan untuk membatalkan saingan piala itu memandangkan trofi itu menjadi rebutan utama pasukan yang gagal beraksi dalam saingan Piala Malaysia terutama pasukan berstatus 'feeder club'.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kampung Jeram Manir, Kuala Terengganu itu tetap reda jika Piala Cabaran terpaksa dibatalkan demi keselamatan dan kesihatan semua pemain yang terlibat secara langsung dalam Liga Malaysia (Liga M).

Jumaat lalu MFL mengumumkan terpaksa membatalkan saingan Piala Cabaran pada musim ini bersama Piala FA berikutan kesuntukan masa bagi memberi laluan kepada Liga Super dan Liga Perdana yang bakal dilangsungkan selama sebulan mulai 1 September 2020 manakala Piala Malaysia bermula 17 Oktober 2020.

"Mula-mula dapat tahu berkaitan pembatalan ini rasa sedih juga, tapi untuk kebaikan dan keselamatan bersama terutama bagi memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19, saya terima dengan hati yang terbuka dan tetap reda, begitu juga dengan saingan Liga Perdana yang bakal berlangsung hanya selama sebulan sahaja.

"Namun jika diberi peluang untuk teruskan semula Piala Cabaran dengan format baharu contoh perlawanan secara kalah mati, saya begitu setuju kerana masa yang diambil tidak lama sepertimana sebelum ini secara kumpulan.

"Apapun saya serah kepada pihak persatuan bolasepak negeri dan negara membuat keputusan kerana mereka pasti lebih arif dan apa apa yang berlaku sebenarnya ada hikmahnya yang tersembunyi.

"Buat masa ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fokus utama saya adalah untuk mengekalkan tahap kecergasan dengan melakukan senaman selama dua jam sehari iaitu pada waktu petang dan selepas solat Tarawih sebagai persediaan sebelum liga disambung semula pada September ini," ujarnya yang berjaya membantu pasukan TFC II muncul juara edisi pertama Piala Cabaran pada 2018 selepas menundukkan UKM FC 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 10:40 PM