BRUNO Suzuki (tengah) mahu hadiahkan kejuaraan Liga Perdana kepada pasukannya musim ini. FOTO Ihsan TFC
BRUNO Suzuki (tengah) mahu hadiahkan kejuaraan Liga Perdana kepada pasukannya musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


KETUA pasukan Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki optimis skuadnya mampu mengakhiri saingan Liga Perdana musim ini dengan berada di puncak walaupun saingan hanya akan berlangsung satu pusingan sahaja.

Penyerang kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu berkata, walaupun berbaki tujuh perlawanan lagi untuk diharungi berdasarkan format baharu dalam kalendar Liga Bolasepak Malaysia (MFL), ia menjadi medan terbaik untuk pasukannya merangkul gelaran itu.

"Pandangan saya pasukan kami mempunyai peluang besar untuk kekal pendahulu selepas menang empat perlawanan terdahulu dengan berbaki tujuh perlawanan lagi sejak liga terhenti pada 16 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

"Saya percaya dengan kelebihan dan kekuatan yang ada dalam pasukan, ia peluang terbaik untuk kami menjadi juara liga musim ini, lebih-lebih lagi hanya kejuaraan liga satu-satunya peluang buat kami meraih trofi selepas Piala Cabaran dibatalkan.

"Tapi paling penting kami perlu kekalkan rekod tanpa kalah kerana pasukan lain sudah pasti akan mengintai peluang untuk berada di tangga teratas liga," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad bimbingan Roshadi Wahab dan pembantunya, Sapian Wahid kini mendahului liga dengan mengutip 12 mata maksimum daripada empat perlawanan.

Jika momentum itu dapat dikekalkan pemain apabila perlawanan disambung semula 1 September depan, tidak mustahil mereka mampu terus mendominasi liga.

Mengenai keputusan MFL tidak melangsungkan Piala Cabaran musim ini, Suzuki melahirkan rasa terkilan kerana impiannya tidak kesampaian untuk merampas kembali trofi yang dimenangi pada edisi sulung 2018 bersama TFC II.

"Bukan hanya skuad kami terkilan tapi pasukan lain juga saya rasa begitu jika Piala Cabaran dibatalkan musim ini apatah lagi impian kami mahu merampas semula trofi itu yang dimenangi dua tahun lalu," katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan kalendar baharu Liga M apabila hanya akan melangsungkan aksi Liga Super dan Liga Perdana satu pusingan selain format Piala Malaysia secara kalah mati sekiranya saingan dapat disambung semula pada September ini.

Piala Cabaran dan Piala FA pula terpaksa dibatalkan, namun semua itu bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengumumkan keputusan muktamad status liga sama ada boleh diteruskan ataupun batal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:45 PM