Ab Rasid Jusoh
Ab Rasid Jusoh
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh akui pembatalan saingan Piala FA memberi kesan kepada pasukan untuk memburu sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Malah katanya pembatalan saingan piala itu juga turut terkesan kepada pemain terutama 'ubi muda' kerana jumlah minit perlawanan mereka akan berkurangan selepas hanya tiga trofi sahaja dipertandingkan iaitu liga, Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

"Kita akur dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menunda liga berikutan Perintah kawalan pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak.

"Tapi apabila mendengar perkhabaran mengenai pembatalan Piala FA seperti mana musim lalu apabila MFL turut membatalkan saingan piala itu, ia sekali gus memberi kesan kerana kehilangan satu piala bagi tahun 2021 selain perlawanan bola sepak juga salah satu sumber untuk menjana pendapatan melalui jualan tiket dan pendapatan itu akan dikongsi dengan pemain.

"Turut terjejas adalah pemain-pemain kerana jumlah perlawanan menjadi berkurangan terutamanya pemain muda, namun positifnya jadual perlawanan tidak begitu padat dan ia tidak menjadi masalah besar apabila TFC turut bersaing dalam kancah Piala AFC dan ianya kelebihan kepada TFC," kata Ab Rasid menerusi kenyataan yang dikeluarkan media rasmi TFC petang ini.

Nada sama turut diluahkan bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yang bersimpati dengan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana selepas Piala FA 'dikorbankan'.

"Pembatalan ini sudah tentu menjejaskan pasukan yang sudah melakukan persiapan awal musim dan ini sudah pasti berlakunya kerugian kerana minit bermain kepada pemain bakal berkurangan selain perancangan yang sudah diatur pasukan untuk merebut piala bakal terjejas.

"Setiap tahun ada 12 bulan, manakala kita sudah melangkaui hampir dua bulan termasuk bulan Disember 2020 untuk melakukan persediaan latihan, apa yang penting adalah masa yang digunakan bagi pasukan haruslah fokus untuk ke hadapan.

"Kita lihat bola sepak di luar negara seperti Eropah ia berjalan seperti biasa, jadi kita haruslah memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikannya dan bukannya membatalkannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:20 PM