ADAKAH trofi EPL akan berpindah milik atau terus disimpan Manchester City?. FOTO Agensi
ADAKAH trofi EPL akan berpindah milik atau terus disimpan Manchester City?. FOTO Agensi
AFP

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) menegaskan bahawa mereka mahu menamatkan musim 2019/20 walaupun timbul kerisauan dalam kalangan pemain mengenai Covid-19.

Semua kelab berkenaan dijangka berdepan kerugian sebanyak £1 bilion (RM5.37 bilion) jika saingan EPL tidak disambung berikutan pandemik global itu.

Beraksi baki 92 perlawanan tanpa penonton sekurang-kurangnya mengurangkan kerugian, mengelak daripada perlu membayar ratusan juta kepada penyiar.

Bagaimanapun liga berkenaan berdepan masalah logistik yang besar jika berhasrat untuk menyambung saingan, tatkala Britian adalah salah satu daripada negara yang teruk mendapat kesan daripada Covid-19 selepas jumlah kematian melebihi 27,500 orang.

Penganjur liga dan kelab membincangkan dalam satu mesyuarat semalam mengenai sebarang kemungkinan jika saingan EPL diteruskan.

"Liga dan kelab mempertimbangkan langkah awal dan hanya akan kembali turun berlatih serta beraksi mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan, nasihat daripada pakar perubatan dan selepas mengadakan pertemuan bersama pemain serta pengurus.

"Semua pasukan mengulangi pendirian untuk menamatkan saingan musim ini, mengekalkan integriti kejohanan dan sedia menerima sokongan daripada kerajaan," jelas EPL dalam satu kenyataan.

Liga berkenaan dilaporkan sudah memberitahu kepada semua kelab bahawa aksi haruslah dilangsungkan di 10 gelanggang neutral untuk melengkapkan saingan musim berkenaan.

Ketua eksekutif Brighton, Paul Barber berkata, idea untuk tidak melangsungkan perlawanan di gelanggang sendiri mahupun lawan adalah satu lagi perkara yang menjadikan saingan kelihatan tidak sempurna selain beraksi di tanpa penonton.

Kerajaan Britain akan menimbang semula perintah berkurung 7 Mei depan dan Perdana Menteri, Boris Johnson berjanji Khamis lalu bahawa akan menyediakan garis panduan ke arah memperlongarkan larangan.

Liverpool begitu hampir untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga apabila mendahului saingan dengan kelebihan 25 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 9:10 AM